Malaysia Baharu celaru, kata Asyraf Wajdi


SM Amin

Kecelaruan tersebut bukan sahaja dari segi politik dan pentadbiran, aspek perundangan dan pengurusan ekonomi negara, malah turut melibatkan penyimpangan agama dan nilai, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2018.

ERA Malaysia Baharu yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan selepas berjaya merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 diselaputi dengan pelbagai kecelaruan, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata kecelaruan tersebut bukan sahaja dari segi politik dan pentadbiran, aspek perundangan dan pengurusan ekonomi negara, malah turut melibatkan penyimpangan agama dan nilai.

“Kononnya nak hapuskan hutang PTPTN sehinggakan orang muda berjaya diumpan untuk menukar kerajaan, tetapi bila berkuasa, maruah mereka pula disergah dengan melabelkan mereka tidak tahu malu kerana tak bayar hutang.  

“Kononnya atas dasar penjimatan, BR1M, bantuan sara hidup nelayan, kenaikan gaji penjawat awam tidak diteruskan, tetapi pada masa sama projek-projek yang menguntungkan para kroni dan kapitalis seperti Projek Kereta Nasional Ke-3 hendak dibangunkan semula.  

“Kononnya nak bela warga kota yang terbeban kos sara hidup dengan menghapuskan tol, tetapi bila sudah menang bagi alasan kerajaan pula yang terbeban kerana kos pengambil-alihan konsesi tol mencecah RM400 Bilion.

“Nampaknya kerajaan hari ini kalau mengikut bidalan Melayu lama ‘agak lebih, daripada agih’ iaitu lebih banyak bercakap dan menyalah daripada bekerja,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno Malaysia di PWTC hari ini.

Menurut Asyraf, beliau tidak menolak kemungkinan kecelaruan yang dilakukan menteri-menteri tersebut antara sebab Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad hilang kepercayaan terhadap anggota kabinetnya sehingga terpaksa mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Dr. Mahathir juga tidak terlepas daripada serangan Asyraf yang membidas kenyataan perdana menteri mengenai manifesto bukan kitab suci dan janji tidak perlu dipenuhi.

“Namun Pemuda ingin tegaskan, janji itu adalah sesuatu yang wajib dipenuhi. Ia adalah tuntutan agama yang tidak wajar dikhianati. 

“Apa guna mendapat mandat jika berterusan menipu rakyat. Apa guna di Putrajaya kalau kata tak dikota. Apa guna menabur janji tapi akhirnya untuk dikhianati,” katanya. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen