Pemimpin menyimpang undur dengan terhormat, kata Pemuda Umno


SM Amin

Pemimpin berkenaan tidak harus heret parti dalam skandal berkenaan kerana akan menjejaskan Umno, kata Ketua Pemuda Asyraf Wajdid Dusuki. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2018.

PEMUDA Umno mendesak para pemimpin parti yang terlibat dalam apa juga skandal untuk berundur secara terhormat.

Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemimpin berkenaan tidak harus mengheret parti dalam skandal berkenaan kerana akan menjejaskan Umno.

“Maka buat pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat, Pemuda Umno pada hari ini ingin berpesan, sesiapa sahaja yang merasakan dirinya terpalit dengan apa jua bentuk penyimpangan, undurlah secara terhormat.

“Jangan sesekali menjadikan parti sebagai perisai kepada segala kedurjanaan diri, janganlah mengheret parti bersama-sama dengan kecurangan peribadi,” katanya.

Dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pemuda Umno di PWTC itu, Asyraf turut mendesak parti mengambil tindakan tegas terhadap bekas pimpinan yang bertindak keluar parti.

Menurut Asyraf, parti juga perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin tersebut kerana telah mengkhianati perjuangan parti.

Ini memandangkan pemimpin berkenaan mendapat untung dengan mengguna jentera parti dan dana parti tetapi akhirnya curang kepada penyokong, katanya.

Tambahnya, tempoh selepas Umno kalah pilihan raya umum ini juga masa yang terbaik untuk ahli Umno menilai siapakah pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan parti.

“Bukan seperti segelintir pimpinan yang telah meninggalkan kita di kala Umno dilanda badai. Kononnya lompat kerana prinsip perjuangan, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang…kami tahu sebab-sebabnya… 

“Ingatlah Umno yang kalian sisihkan inilah, yang pernah menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak. 

Tambah Asyraf, Pemuda Umno selepas ini perlu tampil berani mengkritik dan menegur pimpinan atasan demi memastikan parti sentiasa berada pada landasan yang betul.

Seramai lima ahli Parlimen dan 13 Adun telahpun keluar Umno sejak parti itu kalah pilihan raya umum 9 Mei.

Kes terbaru melibatkan dua bekas menteri, Mustapa Mohamed dan Anifah Aman yang keluar parti pada bulan ini. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen