Pemuda Umno tak gemar sertai kerajaan ikut 'pintu belakang'


Zaim Ibrahim

Tindakan bergabung dengan parti kerajaan untuk tubuh kerajaan perpaduan tak ubah seperti jual maruah parti, kata Asyraf Wajdi Dusuki. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2018.

PERGERAKAN Pemuda menolak sebarang usaha Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bagi mendapatkan semula tampuk pemerintahan dalam kerajaan.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki beranggapan, penubuhan kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti dalam kerajaan adalah seperti menjual maruah parti sendiri.

Malah, Umno berisiko ditolak rakyat sekiranya gabungan tersebut dibentuk.

“Saya buat penegasan supaya jelas, jangan jual maruah hanya untuk jadi kerajaan yang akhirnya ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang. 

“Bagi Pemuda, kita tidak mahu akhirnya rakyat menolak kita buat selama-lamanya,” kata beliau pada sidang media selepas ucaptama perasmian perhimpunan agong Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Tambahnya, beliau amat bersetuju dengan ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan semalam yang menuntut partinya tidak tergopoh-gopoh dan bernafsu untuk mendapatkan kembali kuasa dalam kerajaan. 

“Kita tidak perlu tergesa-gesa nak mencari atau menagih simpati mana-mana pihak untuk bentuk kerajaan melalui ‘pintu belakang’,” jelasnya.

Ia rentetan daripada kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berharap agar penubuhan kerajaan perpaduan antara parti itu dengan mana-mana parti politik dalam kerajaan dapat dibentuk segera.

“Kami terbuka (tubuh kerajaan perpaduan) sebelum atau selepas Anwar Ibrahim jadi perdana menteri.

“Pada masa yang sama, saya perlu hormati pandangan rakan dalam saf kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN),” kata seperti dilaporkan Berita Harian.

Mengulas perkara itu, Asyraf berpendapat, kenyataan itu disalah lapor dan tafsir oleh media. 

Terdahulu dalam ucapan dasarnya di perhimpunan Pemuda Umno, Asyraf menggesa Umno mengkaji suatu bentuk gagasan politik baharu yang melangkaui gabungan Barisan Nasional.

“Gagasan ini tidak hanya diwakili oleh parti-parti komponen BN yang masih tinggal, bahkan harus disertai parti-parti lain daripada blok pembangkang. 

“Gagasan ini perlu memfokuskan kepada usaha untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang yang kuat dan berwibawa demi menjaga kepentingan rakyat,” katanya. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen