Pemuda PAS sedia sertai perbincangan gabungan baharu pembangkang


SM Amin

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pihaknya mengakui terdapat keperluan supaya kerjasama parti pembangkang diperkukuhkan untuk mendepani kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 September, 2018.

PEMUDA PAS bersedia menyertai pasukan khas bagi membincangkan gabungan baharu parti pembangkang.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pihaknya mengakui terdapat keperluan supaya kerjasama parti pembangkang diperkukuhkan untuk mendepani kerajaan Pakatan Harapan.

“PAS adalah satu parti yang terbuka. Politik adalah satu perkara yang fleksibel. Buat masa ini bagi PAS kita bekerjasama, tolong-menolong dalam konteks parti pembangkang perlu diperkukuhkan di antara satu sama lain untuk kita mendepani kerajaan PH yang berkuasa hari ini.

“Kita bersedia bekerjasama dengan semua pihak, bukan sahaja dengan Umno bahkan dengan semua parti untuk kepentingan Islam, Melayu dan negara.

“Buat masa ini kita tak tahu lagi macam mana bentuknya pasukan khas itu, kita tengok dululah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakkan Pemuda Umno di PWTC hari ini.

Ketua Pergerakkan Umno Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasarnya sebelum itu mencadangkan supaya satu pasukan khas yang diwakili oleh semua parti pembangkang dibentuk dengan kadar segera.

Kata Asyraf, Umno perlu realistik dalam menentukan rakan-rakan strategik dengan pelbagai pihak dari pelbagai latar belakang dan mendesak pimpinan parti supaya menyemak semula kerjasama antara parti yang terjalin dalam komponen Barisan Nasional ketika ini.

Mengulas mengenai kehadiran Pemuda PAS dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini, Khalil menyifatkan kehadiran mereka adalah untuk mengukuhkan ikatan dikalangan parti-parti pembangkang.

“Hari ini kami daripada Dewan Pemuda Pas Malaysia dan juga daripada Pemuda Ikatan dapat sama-sama menyertai Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno yang kami dijemput awal. Jadi saya mengucapkan terima kasih di atas jemputan ini.

“Kehadiran ini adalah untuk membuktikan kerjasama pakatan pembangkang perlu diperkukuhkan didalam mendepani cabaran-cabaran politik yang berlaku di dalam negara kita pada hari ini,” katanya. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen