Pemuda Umno desak kaji semula BN


SM Amin

Ketua Pergerakkan Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno perlu segera mengkaji suatu bentuk gagasan politik baharu yang melangkaui gabungan Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2018.

PERGERAKAN Pemuda Umno mendesak pimpinan parti supaya menyemak semula kerjasama antara parti-parti yang terjalin dalam komponen Barisan Nasional.

Ketua Pergerakkan Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno perlu segera mengkaji suatu bentuk gagasan politik baharu yang melangkaui gabungan Barisan Nasional.

Dalam keadaan Umno yang kini sudah menjadi pembangkang, Asyraf merasakan Umno perlu realistik dalam menentukkan rakan-rakan strategik dengan pelbagai pihak dari pelbagai latar belakang.

“Gagasan ini tidak hanya diwakili oleh parti-parti komponen BN yang masih tinggal, bahkan harus disertai parti-parti lain daripada blok pembangkang. 

“Gagasan ini perlu memfokuskan kepada usaha untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang yang kuat dan berwibawa demi menjaga kepentingan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pergerakkan Pemuda Umno Malaysia di PWTC hari ini.

Lanjutan daripada itu, beliau mencadangkan supaya satu pasukan khas yang diwakili oleh semua parti komponen dibentuk dengan kadar segera.

Bagaimanapun kata Asyraf, segala bentuk gabungan yang bakal diwujudkan antara parti-parti pembangkang tidak seharusnya mengorbankan prinsip dan perjungan parti.

“Pemuda Umno ingin menegaskan bahawa kami mendokong sebarang usaha pucuk pimpinan untuk terus mencari formula terbaik bagi mewujudkan apa jua bentuk kerjasama mahupun gabungan pelbagai parti-parti politik dalam blok pembangkang. 

“Namun Pemuda ingin ingatkan jangan sesekali mengorbankan maruah parti. Kerjasama dengan sesiapapun jangan sampai mencabut tunjang perjuangan parti,” ujarnya. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen