Seksyen 62 Akta SPRM langgar Perlembagaan, putus Mahkamah Rayuan


Looi Sue-Chern

Lim yang berdepan tuduhan membeli kediaman banglonya pada harga rendah diminta memfailkan kenyataan pembelaan sebelum perbicaraan bermula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Ogos, 2017.

MAHKAMAH Rayuan memutuskan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 bertentangan dengan perlembagaan.

Peruntukan itu mengkehendaki orang yang kena tuduh untuk memfailkan pembelaannya, dan dengan itu akan mendedahkan inti pati pembelaan serta salinan dokumen yang akan dikemukakan sebagai bukti, sebelum perbicaraan bermula.

Keputusan Mahkamah Rayuan oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Umi Kalthum Abdul Majid itu dibuat dalam kes terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng petang ini.

Lim yang berdepan tuduhan membeli kediaman banglonya pada harga rendah diminta memfailkan kenyataan pembelaan sebelum perbicaraan bermula. Beliau kemudian memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk semakan kehakiman.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini mengetepikan perintah supaya Lim memfailkan kenyataan pembelaannya, kata peguamnya Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan ringkas di Facebook.

Tuduhan terhadap Lim melibatkan dua lot tanah pertanian di Balik Pulau yang ditukar status kepada tanah komersial yang dikatakan memberi manfaat kepada pemilik tanah Magnificent Emblem, sebuah syarikat yang ada kaitan dengan bekas tuan punya tanah Phang Li Koon.

Dia berdepan tuduhan kedua berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta yang dikatakan lebih rendah daripada harga pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai tahun lalu daripada Phang.

Ahli perniagaan itu juga berdepan tuduhan berhubung penjualan banglo berkenaan. – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen