7 warga Palestin terbunuh dalam pertempuran baharu di sempadan Gaza


Bantahan di sempadan Gaza tercetus setiap minggu sejak 30 Mac lalu dan mengorbankan lebih 193 warga Palestin.– Gambar EPA, 29 September, 2018

TUJUH rakyat Palestin termasuk dia kanak-kanak berusia 12 dan 14 tahun maut dalam pertempuran dengan tentera Israel di sepanjang sempadan Gaza pada Jumaat, kata kementerian kesihatan Palestin.

Ia merupakan hari paling berdarah protes di sempadan sejak 14 Mei, dengan lebih 60 rakyat Palestin maut dalam keganasan yang mengiringi perasmian kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis, satu tindakan yang mencetuskan kemarahan rakyat Palestin. 

Nasser Mosabih, 12, Mohammed al-Houm, 14 dan Iyad Al-Shar 18, ditembak mati pada Jumaat dalam pertempuran dengan tentera Israel, kata jurucakap kementerian kesihatan Ashraf al-Qudra kepada AFP. 

Empat lelaki berusia 20an turut terbunuh dalam kekejaman yang berlaku di sepanjang sempadan, kata jurucakap berkenaan dan menambah 210 orang dimasukkan ke hospital termasuk 90 orang yang mengalami kecederaan tembakan. 

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 “penunjuk perasaan” berhimpun di beberapa kawasan di sepanjang sempadan dan mereka membaling “bom tangan dan bahan letupan di beberapa lokasi”.

Tentera itu berkata, pasukannya melepaskan tembakan “mengikut prosedur operasi standard” dan pesawat Israel turut menyerang dua kedudukan milik pejuang Hamas. 

Rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan hampir setiap minggu di sempadan Gaza sejak 30 Mac dalam apa yang mereka panggil “Great March of Return”.

Protes pada Jumaat itu merupakan yang terbesar berbanding minggu-minggu sebelumnya. 

Sekurang-kurangnya 193 warga Palestin dibunuh oleh tentera Israel sejak Mac, kebanyakannya ketika protes di sempadan, manakala hanya seorang tentera  Israel ditembak mati penembak tepat Palestin. – AFP, 29 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen