Amerika tutup konsulat di Basra Iraq


Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menyatakan perkara itu dan turut memberi amaran kepada Iran.– Gambar EPA, 29 September, 2018

AMERIKA Syarikat pada Jumaat menutup konsulatnya di selatan bandar Basra, Iraq, dan menyalahkan “serangan tidak langsung” oleh pasukan tentera yang disokong Iran serta memberi amaran kepada pesaingnya untuk sebarang kerosakan.

Setiausaha Negara Mike Pompeo mengarahkan semua kakitangan kecuali bahagian kecemasan untuk meninggalkan Basra, yang mana tugas konsulatnya akan diambil alih kedutaan di Baghdad. 

Basra megalami pergolakan sejak beberapa minggu lalu berikutan penunjuk perasaan Iraq membantah isu peluang pekerjaan serta ketidakcekapan kerajaan di negara yang kaya dengan hasil minyak itu. 

Menurut Pompeo, kerajaan Iran dan kumpulan militan mengancam kakitangan AS dan kemudahannya serta menyalahkan militan Iran berhuung serangan terhadap konsulat AS. 

“Saya telah memaklumkan kerajaan Iran bahawa Amerika Syarikat akan meletakkan tanggungjawab ke atas Iran sepenuhnya terhadap sebarang kecederaan terhadap warga Amerika atau kemudahan diplomatik kita di Iraq atau di mana-mana sahaja, sama ada oleh tentera Iran atau kumpulan militan,” katanya dalam satu kenyataan. 

“Saya sudah jelaskan Iran perlu faham yang Amerika Syarikat akan bertindak balas terhadap sebarang serangan,” tambahnya. 

Jabatan Negara AS turut mengeluarkan kenyataan nasihat perjalanan kepada warganya untuk tidak membuat perjalanan ke Iraq. 

“Warga AS di Iraq kini berisiko tinggi untuk kekejaman dan penculikan,” menurut kenyataan itu.  – AFP, 29 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen