Keyakinan rakyat Sarawak terhadap Pakatan pudar bila janji tidak tertunai


Desmond Davidson

Rakyat Sarawak masih lagi menantikan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji pilihan raya mereka pada PRU14.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2018

RAKYAT Sarawak mula hilang keyakinan terhadap komitmen pemimpin Pakatan Harapan negeri itu untuk menunaikan janji mereka bagi mengembalikan hak negeri dan royalti minyak.

Suara menuntut autonomi yang lebih besar, mengembalikan hak negeri yang hilang sejak 50 tahun lalu dan hasil yang lebih tinggi daripada royalti minyak dan gas mula mendapat perhatian selepas ia diumumkan secara terbuka oleh bekas ketua menterinya Adenan Satem.

Walaupun Adenan meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada Januari 2017, legasinya kekal menebal di kalangan rakyat Sarawak dalam gesaan untuk mengembalikan semula hak mereka.

Harapan ini mula cerah apabila PH Sarawak pada pilihan raya umum 9 Mei menjanjikan untuk kembalikan hak Sarawak kepada mereka sebagaimana yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bagaimanapun, pakatan itu sudah pun gagal dalam menyampaikan dua janji utama pilihan raya dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan.

Yang pertama, meningkatkan royalti minyak dan gas daripada 5% kepada 20% tidak tercapai, dan akibatnya, mereka turut tidak menunaikan janji untuk menyumbangkan 10% daripada wang royalti kepada rakyat Sarawak dalam bentuk “dividen tunai petroleum”.

Kedua, PH masih belum mengembalikan hak sama rata Sarawak.

Janji untuk mengembalikan 50% cukai yang dikutip di Sarawak dan memberikan autonomi penuh dalam pendidikan dan kesihatan masih tinggal hanya cakap-cakap, kata kebanyakan rakyat tempatan.

Kebanyakan pengundi di Sarawak mula meluahkan kekecewaan mereka dengan janji manis pilihan raya oleh Pakatan Harapan yang masih belum ditunaikan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2018

Antara pengundi muda yang bercakap dengan The Malaysian Insight, kebanyakannya merasa kecewa dengan janji manis pilihan raya mengenai autonomi, hasil minyak dan gas lebih tinggi dan hak kedudukan sama rata dalam persekutuan.

Apa yang lebih teruk, perubahan PH terhadap isu royalti minyak selepas pilihan raya menjadikan orang seperti akauntan Josh John dari Batu Kawa, Kuching meragui sama ada pemimpin PH Sarawak berani untuk “memaksa” rakan semenanjung mereka di Putrajaya untuk menunaikan kesemua janji mereka.

“Semua faham royalti dikira berdasarkan pendapatan kasar, bukan seperti pengiraan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berdasarkan keuntungan bersih,” kata John yang terkejut dengan pengumuman PH mengenai apa yang dimaksudkan dengan royalti.

Ketika Azmin menjelaskan Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dipinda sebelum kerajaan PH menunaikan janji untuk menawarkan royati 20%, John melihat ia sebagai satu taktik untuk melengah-lengahkan pemberian royalti.

“Saya meragui PH Sarawak akan perjuangkan sepenuh hati untuk hak Sarawak,” katanya.

“Lagipun kerajaan persekutuan PH terdiri daripada terlau ramai bekas ahli BN (Barisan Nasional) yang pemikiran mereka terhadap Sarawak tidak pernah berubah.”

Segelintir rakyat Sarawak juga berkata, pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen “tewas dalam perjuangan” dan dilihat tidak sanggup berdepan mennetang Putrajaya.

“Tidak, saya tidak percaya pemimpin PH Sarawak mampu kembalikan hak, membuatkan Putrajaya mematuhi sepenuhnya syarat dalam MA63 atau meningkatkan royalti minyak,” kata profesor dari Unimas Joseph Ramanair.

Segelintir pengundi di Sarawak menyifatkan pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen kini hanya menjadi 'pak turut' kepada pemimpin kerajaan Pakatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2018

Katanya pemimpin Sarawak “sangat berterima kasih kepada Dr Mahathir” kerana membawa pakatan itu kepada kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke 14.

“Jadi seperti pendokong parti itu Lim Kit Siang, CCJ (Chong) mengatakan ‘ya’ kepada semua perkara kerana beliau tahu hanya rendah hati sahaja caranya sekarang,” kata profesor Bahasa Inggeris itu.

Berbeza pula dengan pendapat John.

“Beliau dilihat seperti kalah dalam perjuangannya dan kini hanya menjadi ‘pak turut’ kepada pemimpin persekutuan,” katanya tentang Chong.

Namun, di sebalik kritikan yang semakin memuncak, ahli Parlimen PH sepenggal Kelvin Yii kekal optimis yang kerajaan baharu akan menunaikan semua janji mereka.

“Saya faham mengenai kekecewaan bahawa semuanya mengambil masa lebih lama daripada yang dijangka, kami berusaha keras untuk memastikan janji kami ditepati dan kepentingan Sarawak dijaga,” kata pemimpin DAP Bandar Kuching itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pemimpin PH Sarawak sudah berbincang mengenai isu royalti dengan Azmin, bertentangan dengan apa yang difikirkan oleh rakyat tempatan.

“Kami sudah berbincang dengan Azmin secara peribadi berhubung perkara itu dan memaklumkan kepada beliau pertentangan pendapat kami mengenai tafsiran beliau mengenai 20% keuntungan minyak,” kata Yii.

“Beliau sedia maklum mengenainya dan kini dalam perbincangan untuk peruntukan sama rata kepada negeri dalam bentuk royalti,” kata Yii.

Walaupun tidak mungkin mendapat “peruntukan sama rata” berjumlah 20% sepeti yang diminta, Yii berkata ia masih akan lebih daripada royalti 5% pada pendapatan kasar.

“Saya percaya dan optimis dengan niat kerajaan baharu untuk perbetulkan kesilapan kerajaan BN sebelum ini.

“Kami akan berusaha untuk memastikan janji kami ditepati,” kata Yii. – 29 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen