Tok Mat gesa Umno rangka jalan baharu, bukan sekadar slogan ‘Hidup Melayu’


SM Amin

Timbalan Presiden Umno berkata Umno tidak lagi boleh berharap kepada slogan Hidup Melayu tetapi perlu membuka jalan baru bagi perjuangan parti Melayu itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 September, 2018.

UMNO perlu mencari alternatif baru dalam perjuangannya dan tidak tertakluk kepada ruang lingkup “Hidup Melayu” sahaja kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.

Mohamad berkata Umno perlu segera bangkit dan memimpin bangsa Melayu yang kini berada dalam persimpangan dengan kondisi yang semakin menyusut.

“Umno memerlukan cita-cita baru yang lebih luar biasa untuk orang Melayu. Bukan sekadar slogan dan laungan ‘Hidup Melayu’. 

“Dan Umno, di sebalik kesusutan pengaruh dan kuasanya, tidak boleh membiarkan kondisi bangsa kita terus susut,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Umno di PWTC hari ini. 

Jelasnya, sejarah telah membuktikan bahawa berdasarkan kekuatan modal sosial yang dimiliki, Umno mempunyai potensi untuk mencari jalan penyelesaian untuk parti kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Malangnya kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, pemimpin Umno telah hanyut dengan kepercayaan baru iaitu  “kewangan yang maha berkuasa” (the power of money) dan tidak lagi memperjuangkan soal Bahasa Melayu, kebolehsaingan Melayu atau pendidikan terbaik untuk anak bangsa. 

“Segala-galanya adalah tentang wang. Segala-galanya memerlukan imbuhan, memerlukan ganjaran dan habuan material. 

Selepas enam dekad berkuasa, Umno tewas pada PRU14. Kini, parti Melayu itu bergelut mencari ruang dan peluang bertindak sebagai pembangkang dan meraih kembali kepercayaan rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 September, 2018.

“Natijahnya, perkara yang diperjuangkan Umno bukan lagi kemaslahatan bangsa Melayu. 

“Yang membimbangkan saya ialah bila kita berada dalam kedudukan tewas seperti ini, kita hilang arah. Kita gelabah, kita jadi hilang pedoman dan kewarasan. Kita seolah-olah tidak tahu apa yang harus dilakukan,” katanya.

Susulan daripada itu, Mohamad menyarankan supaya Umno beroperasi di luar kelaziman untuk mencipta dan mengambil pendekatan bagi merangsang rejuvenasi Umno.

Beliau mencadangkan supaya pimpinan sayap Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri bersama-sama menggubal Pelan Umno 2030.

“Pelan ini mesti boleh menjelaskan dengan terperinci, sedekad dari sekarang, bagaimana Umno akan ditransformasikan sebagai pelopor sebenar kepada perubahan. 

“Kita mesti jelas. Membangunkan semula Umno tidak sesekali bererti hanya mengambil alih kuasa sahaja. 

“Dan bukan sekadar untuk kita melaungkan slogan keramat ‘Hidup Melayu’. Tetapi bagaimana untuk Melayu dalam abad ke-21 mesti hidup secara maju. Dan ianya dipimpin oleh Umno,” katanya. – 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen