UMNO perlu membantu kempen PAS di Port Dickson, kata beberapa pimpinan akar umbi parti itu, walaupun Barisan Nasional (BN) memboikot pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu, yang akan diadakan 13 Oktober nanti.
Bantuan itu mustahak untuk memperkemaskan kerjasama Umno dengan PAS yang terbentuk sejak Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, baru-baru ini.
Bagaimanapun mereka faham keputusan Umno nanti akan bergantung pada strategi politik parti itu – mahu Anwar Ibrahim menang atau kalah di Port Dickson.
Kemenangan mudah untuk presiden PKR itu boleh jadi strategi politik Umno untuk mengimbangi kuasa dan pengaruh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja Raof Mokhtar.
“Di PRK Port Dickson ini, Umno hendak Anwar menang atau kalah, itu persoalan utama. Kalau hendak Anwar menang, keputusan untuk tidak bertanding itu tepat. Biarkan Anwar terus berlawan dengan Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tetapi Raof juga berpendapat soal Anwar menang atau kalah sudah tidak lagi penting selepas PAS mengumumkan bertanding di Port Dickson.
Kelmarin, PAS mengumumkan bekas pegawai tentera Mohd Nazari Mokhtar, seorang leftenan kolonel bersara, sebagai calonnya di Port Dickson.

“Keadaan sudah berbeza. Umno kena bantu kempen PAS. Parti-parti pembangkang perlu tunjukkan kesatuan,” kata Raof.
Jelas beliau, kerjasama Umno dan PAS yang baru bermula dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis sebelum ini masih rapuh sehingga ketika itu tiada kesepaduan dalam gerak kerja kempen bersama.
“Apabila PAS umum bertanding dalam PRK Port Dickson, lebih baik Umno turun bantu kempen PAS,” katanya.
“Kata (Umno) hendak buat kerjasama dengan PAS, jadi janganlah buat separuh jalan,” tambahnya.
Isnin lepas, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pendirian Umno dan BN “memboikot” Pilihan Raya Kecil Port Dickson, yang katanya diadakan secara paksa “untuk memenuhi cita-cita politik individu.”
Zahid merujuk pada langkah politik PKR mengosongkan kerusi yang dimenangi calonnya, Danyal Balagopal Abdullah pada 9 Mei lalu bagi membuka jalan untuk Anwar jadi ahli di Dewan Rakyat.
Selain Anwar, pilihan raya kecil ini akan turut disertai bekas naib presiden Umno, Mohd Isa Samad, yang juga bekas Adun Linggi dan Adun Bagan Pinang, dua kawasan dalam Port Dickson.
Bekas pengerusi Felda itu keluar Umno beberapa hari sebelum mengumumkan pencalonannya.
Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas, Stevie Chan Keng Leng juga mengumumkan hasrat mengemukakan pencalonan hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berpendapat elok saja Umno tidak terlibat dengan kempen di Port Dickson, biar Anwar menang dan nanti jadi perdana menteri.
Beliau percaya Umno akan lebih bermasalah sekiranya Anwar kalah kerana ia hanya akan menyebabkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali lebih kuat dalam PKR.
“Kalau Anwar kalah (di Port Dickson), (Umno) akan berhadapan dengan musibah lebih besar iaitu sokongan kepada Azmin sebagai calon timbalan presiden PKR akan meningkat.
“Ahli Parlimen PKR yang selama ini sokong Anwar pasti akan bersama Azmin apabila Anwar tidak layak jadi perdana menteri,” katanya.
Lokman berharap PAS faham dengan strategi Umno tidak menyertai pilihan raya kecil itu kerana baginya “tidak bijak” cuba menggagalkan Anwar jadi perdana menteri.
“Saya rasa PAS akan faham keputusan yang diambil oleh Umno untuk boikot PRK Port Dickson,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Port Dickson Mohd Faizal Ramli berkata pihaknya siap sedia untuk menggerakkan jentera membantu PAS sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.
“Kita setakat ini tidak ada melakukan sebarang gerak kerja apa-apa sebab Majlis Tertinggi sudah memutuskan untuk memboikot PRK Port Dickson,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kita tiada masalah untuk menggerakkan jentera. Kita hanya ikut arahan sahaja. Setakat ini tiada arahan terbaru selain daripada memboikot.
“Ahli Umno tidak akan keluar mengundi. Kita ahli ada lebih kurang 13,000 orang,” tambahnya. – 29 September, 2018.
Komen