Lupakan dulu nafsu untuk berkuasa, kata timbalan presiden Umno


SM Amin

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Umno perlu menumpukan usaha meraih kembali kepercayaan orang Melayu dan melupakan seketika impian untuk berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 September, 2018.

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hassan mahu parti melupakan sementara niat untuk kembali berkuasa dan fokus kepada usaha untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu.

Mohamad berkata Umno perlu dibangunkan semula dengan nilai, moral dan ideologi yang boleh diterima rakyat terutamanya masyarakat Melayu yang sebahagian daripadanya telah menolak Umno dalam Pilihan Raya Raya Umum Ke-14.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memberi tempoh 10 tahun untuk Umno memulihkan semula parti dan bangkit semula untuk memperjuangkan bangsa Melayu.

“Umno mesti melupakan sebentar nafsunya untuk meraih kuasa.

“Umno harus tampil, bekerja keras meyakinkan semula bangsa Melayu bahawa ia, Umno, akan menumpukan seluruh kudratnya dalam masa sepuluh tahun akan datang, untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu.  

“Umno, mesti membangunkan dekad pencerahan untuk bangsa Melayu. Atau apa yang saya panggil The New Malay Renaissance,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Umno di PWTC.

Perhimpunan Agung Umno tahun ini adalah yang pertama diadakan selepas parti Melayu itu jadi pembangkang kerana kalah Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 September, 2018.

Mohamad yang mewakili kepimpinan Umno yang lain turut mengambil kesempatan memohon maaf kerana gagal membawa Umno dan Barisan Nasional mengekalkan kuasa di Putrajaya.

Jelasnya, Umno bukan sahaja telah hilang kuasa dan pengaruhnya, malah telah hilang pesonanya pada bangsa Melayu walaupun telah memimpin selama lebih 60 tahun.

Beliau turut menggariskan tiga faktor penting yang mendasari kegagalan Umno dalam pilihan raya umum lepas termasuk sikap orang Melayu tidak lagi mempunyai rasa sentimental terhadap parti.

Katanya generasi kini juga tidak lagi menerima apa yang disampaikan oleh pemimpin dan Umno serta BN gagal berubah mengikut tuntutan sezaman juga 

“Di sebalik segala alasan dan faktor ini, krisis paling besar kepada Umno bukanlah kehilangan kuasa. Menang kalah pilihanraya itu adat demokrasi.

“Tetapi, yang sangat mendukacitakan ialah Umno tewas kerana ia telah kehilangan kepercayaan orang Melayu. Kepada sesetangah orang Melayu, Umno telah hilang kompas moral dan nilainya” katanya.

Perhimpunan Agung Umno berlangsung dua hari, dengan perhimpunan tiga sayapnya esok dan perbahasan usul ucapan dasar presiden pada Ahad. – 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen