BANDAR Palu di pulau Sulawesi di Indonesia dilanda tsunami setinggi dua meter ekoran gempa kuat pada skala 7.5 Richter yang melanda kawasan itu, lapor agensi berita.
Gegaran kuat dilaporkan memusnahkan bangunan dan menyebabkan penduduk panik lari bertempiaran menyelamatkan diri dan bot dibawa air ke daratan.
Tiada rakyat Malaysia terjejas setakat ini, kata Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam kenyataan pada kira-kira jam 10 malam ini.
Ketua agensi gempa bumi dan tsunami Indonesi mengesahkan tsunami membadai Palu, bandar didiami 350,000 di pantai barat pulau Sulawesi.
Laporan Reuters memetik kenyataan Ketua Agensi Meteorologi Indonesia BMKG, Dwikorita Karnawati menyebut, tsunami tersebut sudahpun surut.
“Keadaan sekarang huru-hara, orang berlari di jalanan dan bangunan runtuh. Ada kapal terdampar di darat,” katanya.
BMKG pada awalnya mengeluarkan amaran tsunami namun kemudian membatalkan amaran tersebut. Gempa berkenan berlaku di dasar laut pada kedalaman 10 km, pada kedudukan 80 kilometer dari Palu.
Satu bandar nelayan berhampiran, Donggala juga terjejas akibat gempa hari ini.
Lapangan terbang Palu juga ditutup.
Pasukan penyelamat negara itu dilaporkan akan menghantar kapal dan pesawat untuk membantu operasi.
Bandar berkenaan terkenal sebagai tumpuan pelancong dan penggemar sukan air.
Siri gempa bumi pada Julai dan Ogos mengorbankan hampir 500 orang di Lombok, di barat daya Sulawesi. – 28 September, 2018.
Komen