PENGAWAL Revolusi Iran (The Guards) pada Jumaat berkata telah membunuh empat anggota militan yang memasuki sempadan dari Pakistan untuk membuat serangan.
Mereka berkata dua militan lagi cedera dalam pertempuran di wilayah tenggara Sistan-Baluchistan dan baki pengganas melarikan diri ke negara jiran.
Sistan-Baluchistan mempunyai masyarakat etnik Baluchi yang kebanyakannya Islam Sunni, merintangi sempadan ke wilayah Baluchistan yang bersebelahan dengan Pakistan.
Kumpulan pelampau Sunni, Jundallah (askar Tuhan) melancarkan pemberontakan berdarah di wilayah itu pada 2000 yang mensasarkan pasukan keselamatan dan pegawai-pegawai kerajaan Iran yang didominasi Syiah.
Kempen itu memuncak dengan serangan maut tanpa henti sejak 2007 - termasuk pengeboman bunuh diri ke atas masjid Syiah yang meragut 28 nyawa - tetapi berkurangan selepas ketua kumpulan itu mati terbunuh pada pertengahan 2010.
Pada 2012, anggota Jundullah membentuk organisasi dipanggil Jaish al-Adl (tentera keadilan) yang melakukan beberapa siri serangan terhadap pasukan keselamatan.
Iran mendakwa kumpulan itu disokong pasukan perisik Amerika Syarikat (AS), Britain dan Israel dengan penglibatan Pakistan.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Sepah News, The Guards berkata pertembungan di sempadan Pakistan itu berlaku selepas operasi risikan The Guards mendapati satu kumpulan pengganas yang ada kaitan dengan “global arrogance” merancang mahu menyerang pos sempadan Iran pada pagi (Jumaat).”
“Global arrogance” adalah istilah yang digunakan oleh pegawai kerajaan Iran yang merujuk kepada AS dan sekutunya.
Keganasan di kawasan tenggara itu berlaku kurang seminggu selepass serangan maut ke atas perarakan tentera di bandar Ahvaz di barat daya Iran.
Iran mendakwa serangan yang meragut 24 nyawa pada Sabtu lepas itu dilakukan oleh puak pemisah yang disokong oleh sekutu AS.
Kumpulan Islamic State (IS) dan kumpulan pemisah yang menggelar diri mereka Ahvaz National Resistance mendakwa melakukan serangan tersebut. – AFP, 28 September, 2018.
Komen