DARIPADA peminat yang dipukul sehingga maut sehinggalah pergerakan pasukan diiringi pegawal keselamatan bersenjata, Indonesia pantas meraih reputasi sebagai “negara pengganas bola sepak” Asia.
Minggu lepas, penyokong kelab Persija Jakarta, Haringga Sirla, 23, dipukul sehingga maut oleh penyokong kelab lawan, Persib Bandung.
Pembunuhan itu sekali lagi memberi tumpuan kepada keganasan bola sepak negara itu berdekad lamanya sehingga Liga 1 pernah digantung.
Sirla adalah peminat bola sepak ke-70 maut dalam keganasan berkaitan bola sepak sejak 1994, atau secara puratanya tiga orang terbunuh setiap tahun, menurut data dikeluarkan badan pemantau bola sepak, Save Our Soccer.
Pembunuhan kejamnya yang dirakam telefon bimbit dan dimuat naik ke YouTube menunjukkan penyokong lawan menggunakan batu dan kayu untuk membelasah lelaki muda itu di luar stadium di Bandung sebelum perlawanan berlangsung.
Polis sudah menahan 16 orang berkaitan pembunuhan itu.
Ia adalah siri keganasan yang ganas antara dua penyokong kelab itu sehingga penyokong Persija dinasihatkan supaya tidak menghadiri perlawanan di Bandung, 150km dari Jakarta.
Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) menggantung perlawanan serta merta susulan kejadian Ahad lalu, berikrar akan menyelesaikan masalah itu besar-besaran.
Tetapi, pengkritik pantas mengecamnya, berkata ia bukanlah kejadian pertama berlaku tetapi tidak ada perubahan berlaku.
“Penalti tak mencukupi,” kata Dex Glenniza, pengurus pengarah website Pandit Football.
“Pasukan tak pernah belajar daripada kesilapan lepas.”
Walaupun keganasan peminat bola sepak tidak seburuk di sesetengah negara Amerika Latin termasuk di Brazil, di mana bola sepak dianggap agama, hooliganism sudah lama wujud di Indonesia, kata pemerhati.
Penyokong tegar pasukan utama terkenal dengan tingkah laku ganas, dengan sorakan ganas perkara biasa ketika perlawanan dan rusuhan sering berlaku.
Keselamatan jadi aspek bermasalah sehinggakan pemain kelab bermusuh seperti Persib dan Persija diangkut dengan iringan pasukan keselamatan bersenjata.
Ramai perusuh tidak berminat dengan perlawanan sebaliknya hanya mahu cari gaduh dengan pesaing mereka, kata Glenniza.
“Ini bukan soal bola sepak lagi, mereka penjenayah,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Indonesia masih gagal bertindak untuk menamatkan keganasan.
Menambah anggota keselamatan, meningkatkan keselamatan stadium, dan merombak pengurusan liga dianggap boleh berlaku walaupun masih tiada tindakan.
Ada juga yang mengeluarkan cadangan yang lebih keras, termasuklah menolak mata kelab atau perlawanan dalam stadium kosong.
Penganalisis bola sepak, Akmal Marhali berkata keganasan penyokong perlu dihukum dan mempersoalkan sama ada Indonesia bersedia melakukannya.
“PSSI perlu menghukum kelab sewajarnya,” katanya.
“Jika terpaksa, mungkin kita perlu laksanakan moratorium kepada bola sepak sehingga tiada lagi keganasan.” – AFP, 28 September, 2018.
Komen