Israel dedah kawasan peluru berpandu dibina Hezbollah


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mendedahkan mengenai lokasi tersebut, ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Gambar EPA, 28 September, 2018.

TENTERA Israel pada Khamis mengedarkan gambar satelit tiga kawasan di tengah Beirut yang didakwa digunakan Hezbollah, untuk membina kemudahan sistem peluru berpandu.

Hezbollah dikatakan mendapat sokongan Iran.

Terdahulu pada malam Khamis Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mendedahkan mengenai lokasi tersebut, ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Di Lubnan, Iran mengarahkan Hezbollah membina tapak rahsia untuk projek peluru berpandu yang boleh mensasarkan Israel,” kata Netanyahu.

Tiga lokasi itu terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Rafiq Hariri Beirut, lapor agensi berita Xinhua memetik Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Usaha membina infrastruktur itu “satu lagi tindakan dan pengaruh negatif Iran di rantau itu,” kata Tentera Israel.

IDF turut mengatakan Hezbollah sepanjang tahun lalu cuba membina infrastruktur untuk menggantikan sistem roket biasa kepada peluru berpandu, di kejiranan Uza’i di Beirut berhampiran lapangan terbang antarabangsa. – Bernama, 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen