Presiden Palestin ancam langgar perjanjian dengan Israel, AS dan Hamas


Kami telah memuktamad perjanjian dengan Israel dan mereka telah memansuhkan kesemuanya. Sama ada Israel berpegang kepada semua perjanjian ini atau kami akan memungkirinya. Israel akan bertanggungjawab dan menerima akibat daripada tindakan ini, kata Mahmoud Abbas. – Gambar EPA, 28 September, 2018.

PRESIDEN Palestin Mahmoud Abbas pada Khamis mengancam untuk memungkiri perjanjian dengan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Pergerakan Islam Hamas berikutan kegagalan mereka untuk komited terhadap perjanjian itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Bercakap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beliau berkata: “Kami telah memuktamad perjanjian dengan Israel dan mereka telah memansuhkan kesemuanya. Sama ada Israel berpegang kepada semua perjanjian ini atau kami akan memungkirinya. Israel akan bertanggungjawab dan menerima akibat daripada tindakan ini.”

Bagaimanapun beliau berkata: “Kami tidak akan kembali kepada kekerasan dan keganasan, tidak kira apa jua keadaannya.”

Pemimpin Palestin itu kemudian menyebut beberapa perjanjian tidak spesifik dengan pentadbiran AS.

“Kenapa mereka memungkiri semua perjanjian ini, dan bagaimana kami harus menangani perkara ini? Sila jawab pertanyaan saya,” katanya.

“Sama ada hormati komitmennya, atau kami tidak akan mematuhi mana-mana perjanjian.”

Menyentuh parti Hamas Palestin, yang memerintah Gaza, Abbas berkata: “Kami juga telah memuktamad perjanjian dengan Hamas. Sama ada mereka melaksanakan perjanjian itu sepenuhnya, atau kami akan menjarakkan diri daripada mana-mana perjanjian atau langkah-langkah yang telah dimuktamad tanpa persetujuan kami dan tidak akan memikul sebarang tanggungjawab.”

Sebagai maklum balas kepada keputusan AS memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dan memotong dana kepada Agensi Bantuan dan Kerja bagi Pelarian Palestin PBB (Unrwa) di Timur Dekat, beliau berkata:

“Kami juga tidak akan menerima pengantaraan tunggal Amerika dalam proses damai kerana pentadbiran AS telah hilang kelayakannya susulan beberapa keputusan yang dibuat negara itu baru-baru ini.”

Beliau menggesa Britain, yang didakwa “bertanggungjawab dari segi sejarah, politik, perundangan serta moral berhubung penderitaan dan ketersingkiran penduduk Palestin akibat Deklarasi Balfour 1917,” untuk membetulkan kesilapan bersejarah ini dengan mengiktiraf Negara Palestin serta memberi pampasan kepada penduduknya atas kesakitan dan penderitaan mereka.

Abbas berkata AS, yang menyokong kuat Deklarasi Balfour dan bekerjasama dengan Britain untuk melaksanakannya, hendaklah “melakukan perkara yang sama.”

“Kenapa Majlis Keselamatan tidak menjalankan tugasnya dengan memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghentikan pendudukan rejim itu di Negara Palestin?” katanya.

Ini berlaku kerana AS, penyokong kuat Israel dan merupakan antara lima anggota tetap majlis itu, mempunyai kuasa veto, katanya. – Bernama, 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen