Saya tak dibayar RM25 juta untuk kosongkan kerusi PD, kata Danyal


Mohd Farhan Darwis

Saya akan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang dan sekiranya perlu saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap anasir ini, kata Danyal Balagopal Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 September, 2018.

DANYAL Balagopal Abdullah tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya menerima RM25 juta sebagai habuan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson. 

Danyal berkata, pihaknya memandang serius tuduhan berkenaan kerana ia menggambarkan beliau seorang pesara tentera yang korup.

“Saya dikenali sebagai orang yang mudah memaafkan kesalahan orang, bagaimanapun saya tidak boleh membenarkan seseorang mengambil kesempatan atas personaliti saya dengan memfitnah saya.

“Saya akan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang dan sekiranya perlu saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap anasir ini,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Pakatan Harapan di Port Dickson, petang tadi.

Awal bulan ini, satu kenyataan menggunakan nama Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Mohamed Arshad Raji yang mendakwa Danyal menerima RM25 juta untuk mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim bertanding tular di media sosial.

Pengarah Perhubungan Awam Patriot Wong Ang Peng, bagaimanapun menafikan perkara itu, dan menegaskan Arshad tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Patriot sebelum ini membantah tindakan Danyal mengosongkan kerusi tersebut untuk memberi laluan kepada Anwar, menyifatkannya satu pengkhianatan kepada pengundi dan anggota tentera di Port Dickson yang mengundi Danyal pada PRU14.

PAS meletakkan Mohd Nazari Mokhtar untuk PRK Port Dickson untuk menentang Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 September, 2018.

Danyal, dalam sidang medianya hari ini menegaskan yang keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson tidak pernah dipaksa mana-mana pihak tetapi ia tindakan sukarela dilakukannya.

“Tiada sesiapa pun yang memberitahu saya supaya berbuat demikian, ianya inisiatif saya sendiri…tidak ada sebarang ancaman ataupun paksaan dari dalam parti.

“Percayalah, saya memulakan proses perletakan jawatan ini secara sukarela,” katanya.

“Saya hanya meletakkan satu syarat, iaitu saya dibenarkan untuk terus berkhidmat sebagai orang kanan Anwar di Port Dickson.”

Suruhanjaya Piliham Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh pengundian dan penamaan calon ditetapkan esok.

Setakat ini, selain Anwar, yang mewakili Pakatan Harapan, bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad juga menyatakan hasrat bertanding sebagai calon bebas.

PAS juga mengumumkan Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Mohd Nazari Mokhtar, 57, sebagai calon parti Islam itu.

Turut menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRK itu ialah Stevie Chan, yang akan bertanding atas tiket bebas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang masih belum mengumumkan calonnya.

PKR memegang kerusi itu sejak 2008, ketika itu dikenali dengan nama Teluk Kemang. Ia dinamakan Port Dickson selepas proses persempadanan semula dilakukan sebelum PRU14.

Pada PRU14, Danyal menang dengan undi 36,225 mengalahkan calon Barisan Nasional V Mogan yang meraih 18,515 undi dan Mahfuz Roslan (PAS) yang hanya mendapat 6,594 undi. – 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen