Patriot tidak sokong calon PAS di Port Dickson


Julia Yeow

Patriot menyifatkan peletakan jawatan Danyal Balagopal Abdullah sebagai pengkhianatan kepada pengundi dan veteran angkatan tentera yang secara terbuka berkempen dan menyokongnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2018

KUMPULAN veteran angkatan bersenjata, Patriot, tidak akan memberi sokongan kepada pegawai tentera udara bersara yang merupakan calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, sekali gus mengekalkan sikap neutral mereka dalam politik tanah air.

Keputusan itu susulan rasa kemarahan awal kumpulan apabila bekas ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah melepaskan kerusinya awal bulan ini untuk memberi laluan kepada bakal presiden PKR Anwar Ibrahim.

Patriot menyifatkan peletakan jawatan Danyal sebagai pengkhianatan kepada pengundi dan veteran angkatan tentera yang secara terbuka berkempen dan menyokongnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum Danyal meletak jawatan, kumpulan veteran menggesa itu PKR tidak melepaskan Port Dickson kerana Danyal merupakan wakil tunggal bagi 300,000 anggota tentera di Parlimen.

Peletakan jawatan Danyal dikatakan untuk membuka jalan bagi Anwar kembali ke Parlimen, sebagai persediaan untuk mengambil alih jawatan perdana menteri ke-8 dalam masa dua tahun selepas Dr Mahathir Mohamad turun.

Pengkritik mempersoalkan tindakan tergesa-gesa Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Semalam, PAS mengumumkan Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon yang akan mencabar Anwar di bandar tentera darat itu.

Bagaimanapun, anggota kanan Patriot, Wong Ang Peng berkata kumpulan itu tidak akan memberi sokongan kepada Nazari meskipun terdapat beberapa kritikan peribadi terhadap Anwar.

PAS mengumumkan Mohd Nazari Mokhtar semalam sebagai calon yang akan mencabar Anwar Ibrahim pada PRK Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2018.

“Tidak, Patriot tidak akan melakukannya. Walaupun ahli perseorangan agak kritis terhadap Anwar, pendirian kumpulan kita kekal neutral,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Wong menambah Anwar baru-baru ini berkata beliau akan menemui Patriot tidak lama lagi, tetapi tidak menyatakan sama ada tarikh tertentu sudah ditetapkan untuk pertemuan itu.

“Kami harap Anwar akan mengotakan janjinya untuk melihat kebajikan veteran selepas beliau mengambil alih jawatan tertinggi dan kami berharap yang terbaik untuk beliau,” kata Wong.

“Anwar baru-baru ini mengatakan akan bertemu Patriot tidak lama lagi. Dan kami menantikan pertemuan ini.”

Nazari akan menentang Anwar; bekas menteri besar Negeri Sembilan, Isa Samad yang bertanding sebagai calon bebas; dan seorang lagi calon bebas, Stevie Chan serta calon Parti Sosialis Malaysia.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar dengan kaum Melayu (43%), Cina (33%) dan India (22%). – 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen