PERTUBUHAN untuk pelarian Palestin UNRWA pada Khamis menerima AS$118 juta dari beberapa negara untuk membantu mengatasi krisis akibat pemotongan dana Amerika Syarikat (AS).
Kuwait dan Kesatuan Eropah merupakan antara penyumbang terbesar bersama Jerman, Ireland dan Norway, kata Ketua UNRWA Pierre Kraehenbuehl pada sidang akhbar.
Manakala, Perancis berkata ia akan memberi sumbangan tahun depan.
AS yang merupakan penyumbang terbesar kepada Agensi Bantuan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA), mengumumkan pada Ogos yang ia tidak akan lagi membiayai agensi itu.
Kraehenbuehl berkata dana baru itu adalah “satu langkah penting dalam mengatasi krisis kewangan terbesar dan paling teruk UNRWA”, sambil menambah kekurangan bajet tahunan kini berjumlah AS$68 juta.
Diwujudkan pada 1949, agensi itu membekalkan bantuan kepada lebih 3 juta daripada 5 juta pelarian Palestin yang berdaftar di Jordan, Lebanon, Syria dan wilayah Palestin.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, yang menjadi tuan rumah pertemuan mengenai krisis dana UNRWA di luar sesi Perhimpunan Agung PBB, berkata perbincangan sedang dilakukan untuk memastikan pembiayaan jangka panjang untuk agensi itu.
Safadi berkata komuniti antarabangsa mempunyai komitmen tegas, tegas untuk memastikan kelangsungan UNRWA dan untuk ia terus memberikan perkhidmatan kesihatan serta pendidikan kepada pelarian Palestin.
Selain memotong dana kepada UNRWA, pentadbiran Presiden Donald Trump juga mengurangkan AS$200 juta bantuan bilateral kepada rakyat Palestin bagi beberapa projek di Tebing Barat dan Jalur Gaza.
Dalam ucapannya kepada himpunan umum pada Selasa, Trump berkata AS hanya akan memberikan bantuan asing “kepada mereka yang menghormati kami dan rakan jujur kami.” – AFP, 28 September, 2018.
Komen