Ku Li mahu pandangan bukan Melayu untuk nasihat Umno


SM Amin

Tengku Razaleigh Hamzah yang dilantik sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkata majlis jawatankuasa itu hanya akan dibentuk selepas Perhimpunan Agung parti itu yang akan diadakan hujung minggu ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2018

TENGKU Razaleigh Hamzah mahu mengambil kira pandangan semua pihak termasuk bukan Melayu sebelum memutuskan keanggotaan Jemaah Penasihat Umno yang akan memberi pandangan ke arah usaha memulihkan imej parti itu selepas terpukul dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Pasukan penasihat itu hanya akan dibentuk selepas Perhimpunan Agung Umno hujung minggu ini, jelas Ahli Parlimen Gua Musang itu.

“Saya baru terima jawatan Pengerusi Penasihat ini. Belum bentuk lagi majlisnya,” katanya kepada The Malaysian Insight, dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Saya hendak tengok selepas Perhimpunan Agung,” katanya, yang dilantik mempengerusikan badan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 27 Julai lepas.

Tengku Razaleigh dilantik mengetuai jemaah penasihat itu kira-kira sebulan selepas beliau kalah kepada Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan Umno pada 30 Jun lepas.

Semasa mengumumkan pelantikan itu, Zahid berkata jemaah penasihat tersebut berperanan memantau perjalanan dan hala tuju Umno yang kini jadi pembangkang, dengan ahli-ahlinya ditentukan oleh Tengku Razaleigh sendiri.

Zahid juga berkata Tengku Razaleigh juga diberi tanggungjawab untuk memperincikan tugas dan skop kerja jemaah itu.

Timbalan Presiden, Mohammad Hasan, Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pada sidang media mengumumkan penubuhan jemaah penasihat parti itu di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2018

Ditanya bagaimana beliau mahu memantau Umno, Tengku Razaleigh berkata selain pandangan perwakilan pada perhimpunan agung parti, beliau juga mendengar pandangan daripada pihak di luar Umno tentang parti itu pada kaca mata mereka.

“Saya hendak tengok keadaan macam mana. Bukan reaksi ahli-ahli Umno sahaja, saya hendak tengok reaksi orang Melayu seluruhnya, reaksi bukan Melayu.

“Bukan berkisar kepada apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Umno itu sahaja,” katanya.

Jelas beliau, senario politik negara yang masih belum reda dan tiada keperluan untuk membentuk keahlian majlis penasihat itu buat masa ini.

“Apa hendak cepat-cepat sangat. Tengoklah keadaan dahulu. Kita baru kalah pilihan raya, keadaan belum tenang lagi,” katanya.

Selepas PRU14, Umno dilapor mengadakan rundingan dengan parti-parti dalam kerajaan dan pembangkang dengan matlamat mahu jadi kerajaan semula di Putrajaya.

Zahid dalam satu wawancara minggu ini mengesahkan hasrat Umno mahu menubuhkan kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti politik, yang diharap dapat dibentuk segera atas persetujuan bersama.

“Kami terbuka (tubuh kerajaan perpaduan) sebelum atau selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri,” katanya, seperti dipetik media Kumpulan New Straits Times Press.

Persiapan sedang giat dilakukan untuk Perhimpunan Agung Umno 2018 yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini. Ia merupakan perhimpunan pertama parti itu selepas mengalami kekalahan teruk pada PRU14.. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2018

“Perundingan dengan mana-mana parti tidak ada tempoh atau had masa kerana sesuatu keputusan memerlukan persetujuan sepenuhnya pihak satu lagi,” katanya.

Lima ahli Parlimen Umno keluar parti itu sejak PRU14, termasuk dua bekas menteri dalam kabinet Najib Razak sebelum ini, Mustapa Mohamed dan Anifah Aman. Umno kini mempunyai 49 kerusi di Dewan Rakyat.

Mereka keluar Umno antaranya atas alasan tidak lagi sehaluan dengan hala tuju parti yang dilihat bukan lagi inklusif selain tidak nampak jelas tanda-tanda parti mahu berubah selepas kalah.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa kelmarin mengumumkan kabinet bayangan Barisan Nasional dikenali sebagai jawatankuasa portfolio yang memantau setiap kementerian di Putrajaya.

Jawatankuasa itu memainkan peranan sebagai semak dan imbang bagi setiap kementerian serta memantau dasar kerajaan dan mencadangkan dasar alternatif.

Fokus utama setiap jawatankuasa itu buat masa ini ialah mencadangkan belanjawan alternatif kepada Bajet 2019 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 November ini.

Tengku Razaleigh turut disenaraikan dalam jawatankuasa portfolio Jabatan Perdana Menteri, bersama Zahid dan Ismail Sabri. – 30 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen