PARLIMEN Kanada sebulat suara bersetuju melucutkan taraf kewarganegaraan kehormat pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi berikutan krisis Rohingya.
Ottawa memberikan penghormatan taraf kehormat itu kepada pemenang hadiah Nobel keamanan berkenaan pada 2007.
Namun reputasi antarabangsanya tercemar disebabkan keengganannya menghentikan kekejaman oleh pasukan tentera di negaranya terhadap etnik minoriti Islam Rohingya, yang disifatkan Ottawa minggu lalu sebagai pembunuhan beramai-ramai.
“Pada 2007, Dewan Rakyat menganugerahkan status kewarganegaraan kehormat Kanada kepada Aung San Suu Kyi. Hari ini Dewan meluluskan usul untuk melucutkan status itu,” kata jurucakap Menteeri Luar Chrystia Freeland, Adam Austen.
Kempen kekejaman tentera itu bermula tahun lalu menyebabkan lebih 700,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke negara jiran Bangladesh, di mana kini mereka ditempatkan di kem pelarian.
Kekejaman tentera Myanmar itu melibatkan pembunuhan, kekejaman seksual dan tindakan membakar rumah penduduk.
Pihak tentera negara itu bagaimanapun menafikan sebarang salah laku, dan mengesahan operasi yang dijalankan itu hanya untuk menghapuskan militan Rohingya.
Namun hasil misi mencari fakta berhubung kekejaman itu, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu pada Khamis menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyediakan pendakwaan terhadap ketua tentera Myanmar dan lima lagi pemimpin kanan tentera itu kerana jenayah kemanusiaan. – AFP, 28 September, 2018
Komen