PEMIMPIN Palestin Mahmud Abbas mengecam pentadbiran Trump pada Khamis, dan enggan menerima Amerika Syarikat sebagai pengantara bagi konflik di Timur Tengah, sehari selepas Donald Trump menjanjikan rancangan damai “yang sangat adil”.
Presiden Palestin berusia 82 tahun itu menggunakan peluang ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB untuk mengecam Amerika Syarikat kerana menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin di Washington, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, memindahkan kedutaan dan memotong bantuan kewangan kepada Palestin.
Beliau berucap sehari selepas presiden AS itu menyatakan sokongan untuk penyelesaian bagi menamatkan konflik Israel-Palestin dan berikrar untuk membawa pelan keamanan baharu dalam masa sebulan, dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memuji Trump atas “sokongan tidak berbelah bahagi” itu.
Abbas bagaimanapun berkata, Trump melucutkan haknya sebagai broker keamanan yang neutral.
“Kita juga tidak menerima Amerika Syarikat sebagai pengantara dalam proses damai,” katanya, menuduh bekas ahli perniagaan itu sebagai “berat sebelah” kepada Israel sejak memegang jawatan presiden pada Januari 2017.
“Dengan semua keputusan ini, pentadbiran ini menolak semua komitmen AS sebelum ini, malah menjejaskan penyelesaian dua negara,” kata Abbas kepada badan dunia itu dalam ucapan selama 40 minit.
“Ironinya, pentadbiran Amerika Syarikat masih bercakap tentang apa yang mereka kata “rundingan abad ini”.
Pemimpin Palestin sudah lama menyaksikan pentadbiran Trump yang berat sebelah menyokong Israek dan cuba mengugut mereka dengan syarat yang ditetapkan.
Pimpinan Palestin memutuskan hubungan dengan Rumah Putih selepas Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember tahun lalu dan Amerika Syarikat turut menyekat bantuan Palestin sebanyak AS$500 juta. – AFP, 28 September, 2018
Komen