TIGA “pengganas” yang dikehendaki pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan terbunuh dalam serangan di wilayah majoriti Syiah, Qatif, lapor media negeri itu pada Khamis.
Tiga anggota pasukan keselamatan turut mengalami kecederaan ketika menyerbu tempat “persembunyian” mereka di sebuah kawasan kejiranan di wilayah itu pada Rabu, lapor Saudi Press Agency yang memetik jurucakap pasukan keselamatan.
Tiga warga Arab Saudi itu dikehendaki kerana “insiden keganasan di Qatif” yang terletak di timur negara itu, kata jurucakap berkenaan tanpa memberi butiran lanjut.
“Tiada penduduk lain dalam bangunan berkenaan dan pejalan kaki yang cedera dalam insiden tembak menembak itu,” katanya.
Wilayah Timur Arab Saudi mengalami pergolakan sejak 2011 apabila penunjuk perasaan yang masih terpengaruh dengan Arab Spring turun ke jalan raya dan menuntut diskriminasi ditamatkan oleh kerajaan yang didominasi pengikut Sunni.
Komunisi Syiah di negara itu dianggarkan sekitar 10 dan 15 peratus daripada populasi penduduk 32 juta orang, namun kerajaan tidak mengeluarkan sebarang statistik rasmi berhubung perkara itu.
Kerajaan turut menafikan diskriminasi ke atas Syiah.
Wilayah itu juga merupakan tempat tinggal kepada Nimr al-Nimr yang merupakan pengkritik kerajaan dari Syiah yang dihukum mati pada 2016 atas dakwaan terbabit dengan keganasan.
Kematian Nimr al-Nimr mencetuskan kemarahan dan menimbulkan ketegangan baharu di Iran. – AFP, 28 September, 2018
Komen