PAS letak bekas tentera udara lawan Anwar di PD


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon parti itu pada PRK Port Dickson. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 September, 2018.

PAS akan meletakkan seorang bekas tentera udara sebagai calon melawan Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon parti itu.

“Saya nak umumkan Mohd Nazari Mokhtar mewakili PAS dalam pilihan raya kecil ini,” beliau memberitahu penyokong PAS di Pasir Panjang, Port Dickson tadi.

Bekas tentera berusia 57 tahun itu adalah pesuruhjaya PAS di Tenggara, Johor.

Nazari yang berasal dari Johor telah 28 tahun berkhidmat dalam tentera. Selepas bersara pada 2008, beliau menjadi peneroka Felda dan peladang durian Musang King. Selain itu, beliau juga menjadi pengetua di Maahad Tafiz Darul Iman di Bandar Tenggara.

Beliau berpendidikan Masters in Defence & Strategy Studies dari universiti di Dhaka, Bangladesh.

Menurut Tuan Ibrahim, penyertaan PAS dalam PRK ini adalah atas prinsip untuk menghentikan tindakan Anwar yang berkepentingan sendiri.

Walaupun mengakui ia satu tugas berat bagi PAS, namun beliau memberikan contoh calon ‘underdog’ berjaya menewaskan lawan yang lebih kuat.

“Ia sukar tapi tak mustahil. Kita dah tengok kalah-menang dalam bola sepak seperti Brazil lawan Belgium, Jerman lawan Korea Selatan dan kancil lawan kura-kura.”

Tuan Ibrahim kemudian merayu kepada penyokong Umno supaya mengundi PAS sebagai sebahagian daripada pembangkang.

“Umno tak akan hantar jentera. Kita minta pengundi Umno undi PAS kerana kita mewakili pembangkang.”

Jelas ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, sekiranya PAS menang PRK Port Dickson ini, ia akan menghantar isyarat jelas kepada kerajaan PH mengenai rasa tidak senang rakyat berhubung cara pilihan raya ini dirancang.

“Rakyat kecewa dengan kerajaan PH. Rakyat perlu hantar isyarat kepada kerajaan PH,” kata Tuan Ibrahim.

Sekiranya PAS menang PRK Port Dickson ini, ia akan menghantar isyarat jelas kepada kerajaan PH mengenai rasa tidak senang rakyat berhubung cara pilihan raya ini dirancang, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 September, 2018.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan PAS ialah jumlah pengundi yang akan keluar membuang undi nanti.

Bagi Nazari, bekas tentera udara itu berkata beliau akan mewakili suara tentera yang kini sudah tidak mempunyai wakil di Parlimen.

“Ramai pengundi di sini adalah veteran dan pegawai tentera. Kebajikan mereka menjadi keutamaan kita.

“Kita sudah hubungi veteran di seluruh negara. Kita juga sudah hubungi Pahlawan dan Patriot,” kata beliau, merujuk kepada persatuan bekas tentera.

PRK Port Dickson diadakan susulan penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan seterusnya kembali ke Parlimen.

Meskipun Barisan Nasional dan Umno telah memutuskan untuk memboikot PRK Port Dickson, pemimpin veteran Umno Isa Samad mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas.

Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas, Stevie Chan Keng Leng, juga menawarkan diri untuk bertanding.

Penamaan calon akan diadakan pada Sabtu manakala hari mengundi pada 13 Oktober. – 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen