Turki tidak akan kenakan sekatan terhadap Iran


Turki hanya memberikan komitmen sekatan yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan bukannya Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 27 September, 2018.

TURKI tidak akan turut sama dengan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas Iran, kata menteri luarnya lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

“Turki tidak akan menyokong apa-apa sekatan dan akan meneruskan perdagangannya dengan Iran, Rusia dan negara lain. Turki negara bebas dan berdaulat,” kata Mevlüt Çavuşoğlu kepada wartawan.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Iran, Mohammad-Javad Zarif dan dari Rusia, Sergei Lavrov di luar sesi ke 73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

“Turki akan meneruskan perdagangan dengan Iran, tanpa mengira sekatan AS.

“‘Kami hanya memberikan komitmen untuk sekatan yang diputuskan oleh PBB dan bukannya oleh pihak lain,” katanya.

Mengenai perbincangan berkaitan wilayah Syria, Idlib, ujar beliau ketiga-tiga negara itu sepakat mengenai pentingnya pelaksanaan perjanjian Sochi dan percaya peluang itu harus digunakan bagi  menghimpunkan pembangkang di Syria dan mempercepatkan proses damai.

“Pada masa depan, pembentukan jawatankuasa perlembagaan Syria harus menjadi langkah paling penting, kerana senarai ahlinya telah dimuktamadkan,” kata Çavuşoğlu

Katanya, Turki juga akan terus memerangi keganasan. – Bernama, 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen