BERSATU sedang menyediakan kertas strategi bagi menyusun gerak kerja untuk melebarkan pengaruh parti itu ke Sarawak, kata presiden parti Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada hari ini telah memutuskan untuk melantik Mohd Redzuan Md Yusof bagi mengetuai penyediaan kertas kerja tersebut.
Jelasnya Bersatu perlu berunding dengan parti komponen Pakatan Harapan di Sarawak untuk mengenalpasti kawasan yang boleh dijadikan tapak parti itu.
“Redzuan mengepalai langkah untuk meneliti cara bagaimana (Bersatu) boleh masuk ke Sarawak dan kita putuskan supaya satu kertas strategi kemasukan (Bersatu) ke Sarawak disediakan dahulu.
“Kita tidak boleh lompat masuk, lepas itu menghadapi macam-macam masalah,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
“Perlu dipertimbangkan bahagian mana boleh masuk, perbincangan dengan parti-parti PH di Sarawak dan lepas itu hendak menentukan siapa yang layak untuk menjadi pendaftar ahli di Sarawak,”

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad sejak Jun lalu mengumumkan bahawa parti itu akan mengembangkan cawangannya ke Sarawak bagi memenuhi permintaan rakyat di negeri itu.
Katanya, langkah itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana parti-parti lain dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Amanah, semuanya sudah ada di Sarawak.
Pengerusi Penaja Bersatu Sarawak, Johan Mohamad mendakwa sebanyak 22 daripada 31 Bahagian Bersatu Sarawak telah dimuktamadkan dengan mensasarkan keahlian 1,000 ahli setiap Bahagian.
Sementara itu, Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg menegaskan pihaknya tiada sebarang halangan untuk Bersatu memasuki Sarawak dan menyifatkan ia urusan Bersatu.
Jelas Abang Johari, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), fokus utama beliau sekarang ialah mengukuhkan kerjasama antara parti-parti politik tempatan di Sarawak.
PBB dan tiga lagi parti yang membentuk kerajaan negeri Sarawak mengumumkan keluar Barisan Nasional untuk berdiri di bawah pakatan baru yang dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).– 27 September, 2018.
Komen