Bersatu bubar badan pimpinan parti Negeri Sembilan


SM Amin

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata semua jawatankuasa, bahagian serta sayap Pemuda dan Srikandi Negeri Sembilan dibubarkan semasa sidang akhbar parti itu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 September, 2018.

BADAN pimpinan Bersatu Negeri Sembilan dibubarkan serta merta sekali dengan semua sayapnya kerana menghadapi masalah pendaftaran dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata presidenya Muhyiddin Yassin.

Badan itu bagaimanapun akan ditubuhkan semula dengan segera, di bawah kendalian pengerusi negeri yang baru dilantik, Rais Yatim, tambahnya.

“Kita mempunyai banyak masalah. Dulu kita lantik orang ini itu, macam-macam perkara mereka lakukan. Di Negeri Sembilan sahaja satu negeri yang ada banyak masalah. Walaupun kita hendak buat pertukaran tetapi ada isu-isu perlembagaan.

“Sebab itu satu daripada cara yang diputuskan oleh RoS kalau hendak buat, dengan kita bubarkan Badan Pimpinan Negeri dan Bahagian termasuk Pemuda dan juga Srikandi.

“Yang ada sekarang ini akan terbubar dan akan kita lantik yang baru,” katanya dalam sidang media selepas di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Katanya berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi parti selepas berbincang dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Menurut Muhyiddin, Perlembagaan Bersatu yang asal tidak mempunyai peruntukan untuk pembubaran parti di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

Olehitu, peruntukan baharu dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada hari ini dan diluluskan serta berkuat kuasa serta merta.

“Perkara ini tidak ada dalam perlembagaan. Jadi hari ini kita bentang dan Majlis Pimpinan Tertinggi telah bersetuju meluluskan.

“Ini adalah untuk kita guna pakai bagi tujuan iaitu keputusan hari ini untuk membubarkan (Bersatu) yang telah tertubuh awal di Negeri Sembilan,” katanya.

Tambahnya, tokoh sosiobudaya Rais Yatim dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith akan bersama Setiausaha Agung PPBM menyusun semula PPBM di negeri itu.

Pembubaran itu dibuat hanya selang beberapa hari sebelum Presiden PKR Anwar Ibrahim bertanding secara rasmi dalam pilihan raya kecil Port Dickson.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut menegaskan keputusan membubarkan Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan kempen Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dijangka akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Itu tidak akan menjejaskan kerana untuk membantu jentera Pakatan di sana, (Bersatu) Pusat akan terlibat. Ramai pemimpin yang ada akan datang membantu.

“Sebelum ini kalau ada pilihan raya, dengan keadaan (Bersatu) yang agak tidak tersusun dan bermasalah, tidak boleh membantu sesiapa pun.

“Kita faham Anwar akan bertanding dalam PRK Port Dickson tetapi bukan sebab itu. Kita harap kita dapat bubarkan segera tetapi ia memerlukan masa untuk kita perbetulkan,” ujarnya. – 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen