SEORANG lelaki yang dengan kejam membunuh sembilan kanak-kanak dengan pisau dan mencederakan 12 yang lain, dihukum mati di China, hari ini.
Zhao Zewei dijatuhi hukuman itu selepas disabitkan bersalah dalam insiden pembunuhan beramai-ramai pada Julai lalu.
Dia dilaporkan berdendam dengan sekolah di utara wilayah Shaanxi itu, di mana dia juga mendapat pendidikan di sekolah itu ketika masih kanak-kanak.
Mahkamah dalam keputusannya berkata defendan secara sengaja menyebabkan kesengsaraan kepada hidup orang lain.
“Kerana kerja dan hidupnya tidak dalam keadaan baik, Zhao Zewei berdendam dalam hatinya dan mengambil nyawa orang tidak bersalah,” kata kenyataan itu.
Serangan di Number Three Middle School itu berlaku ketika kanak-kanak sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat kelas.
Zhao memberitahu polis dia dibuli di sekolah itu pada zaman kanak-kanaknya, dan membenci rakan sekelasnya dan memutuskan untuk menggunakan pisau sebagai membalas dendam.
Serangan menggunakan pisau sesuatu yang biasa berlaku di China.
Insiden yang menyasarkan kanak-kanak sekolah sebelum ini menyebabkan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar sekolah.
Pada Januari 2017, seorang lelaki bersenjatakan pisau masak menikam dan mencederakan 11 kanak-kanak tadika di selatan wilayah Guangxi Zhuang.
Pada Februari, penyerang mencederakan 10 kanak-kanak dengan pisau di selatan kepulauan Hainan, sebelum membunuh diri.
Lelaki terbabit masuk ke kawasan sekolah pada waktu tengah hari, mendakwa mahu menjemput anak lelakinya. – AFP, 27 September, 2018.
Komen