Netanyahu tolak jemputan, tuduh UNESCO amal anti-Semitisme


Netanyahu mengatakan UNESCO tidak harus hanya menjadi tuan rumah sebuah persidangan anti-Semitisme. Ia harus berhenti mengamalkan anti-Semitisme.– Gambar AFP, 27 September, 2018.

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau terpaksa menolak jemputan Persidangan UNESCO mengenai anti-Semitisme sepanjang lawatan ke New York kerana ia disifatkan sebagai perhimpunan “berat sebelah”.

Israel berundur daripada organisasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu pada 2017 menuduh ia mengamalkan dasar anti-Israel.

“Walaupun saya sokong pembanterasan anti-Semitisme, saya ambil keputusan untuk tidak menyertai persidangan UNESCO mengenai anti-Semitisme kerana organisasi itu terus mengamalkan dasar berat sebelah ke atas Israel,” kata Netanyahu dalam kenyataan dari pejabatnya.

Netanyahu yang kini berada di New York bagi Perhimpunan Agung Tahunan PBB, mengatakan UNESCO “harus berusaha lebih lagi, selain hanya menjadi tuan rumah sebuah persidangan anti-Semitisme. Ia harus berhenti mengamalkan anti-Semitisme.”

Ketua Pengarah UNESCO bagaimanapun mengulas kenyataan Netanyahu secara tidak terus, dan mengatakan pendidikan adalah cara terbaik melawan diskriminasi dan intoleran.

“Anti-Semitisme memandang rendah hak-hak asasi secara umumnya,” kata Audrey Azoulay yang merupakan ketua pengarah organisasi itu di persidangan tersebut.

“Bercakap mengenainya adalah satu cara mempertahankan kebebasa. Ia mempertahankan maruah sama rata umat manusia.” katanya lagi.– AFP, 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen