Lelaki AS simpan mayat disuntik maut


Penyiasat menemui mayat Muse beberapa bulan selepas kejadian di samping menemui mayat lain di tempat yang sama.– Gambar AFP, 27 September, 2018.

HUKUMAN mati menggunakan suntikan maut dijalankan pada petang Rabu ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh seorang wanita dan menyorokkan mayatnya di dalam sebuah tong simen.

Ia adalah pelaksanaan pertama daripada dua hukuman yang dijadualkan bagi minggu ini.   

Troy Clark, 51, dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan seorang wanita Christina Muse, teman serumahnya yang berusia 20 tahun pada tahun 1998.

Clark, seorang pengguna dadah dan pengedar dituduh memukul Muse dan melemaskan wanita itu di dalam kolam mandian kerana menyangka wanita itu akan melaporkan kepada polis mengenai kegiatan haramnya.

Clark menyorokkkan mayat Muse di dalam sebuah tong berisi simen. Penyiasat menemui mayat wanita itu beberapa bulan selepas kejadian di samping menemui mayat lain di tempat yang sama.

Clark tidak mengaku bersalah sehingga akhir hayatnya. Peguamnya berkata pendakwaan ke atas Clark terlalu bersandarkan kenyataan bekas teman wanita Clark yang berubah-ubah.

Kali pertama, teman wanitanya menyalahkan lelaki itu di atas pembunuhan Muse, kemudian beliau mengatakan dirinya bertanggungjawab atas kematian itu. Namun pada akhirnya, beliau menyalahkan Clark bagi menurunkan kadar hukuman.

Clark disahkan mati pada pukul 6.36 petang waktu AS menurut Jabatan Kehakiman Jenayah Texas.

Pada hari Khamis, satu lagi tahanan yang dijatuhkan hukuman mati, Daniel Acker turut dijadualkan menjalani hukuman yang sama.

Secara keseluruhan, hukuman mati ke atas Clark adalah hukuman ke-17 pada tahun 2018 di AS.– AFP, 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen