Pengarang Sarawak Report berang dengan penipuan WSJ


Tan Wan-Peng

Clare Rewcastle-Brown berucap ketika melancarkan bukunya, The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose pada 8 September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2018.

SEJAK 2015, Clare Rewcastle-Brown hanya berdiam diri ketika wartawan Wall Street Journal (WSJ) berkongsi berita skup miliknya tentang skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) tanpa memberi kredit kepada laman web pendedah maklumat, Sarawak Report.

Tetapi tahap kesabarannya tamat minggu ini apabila wartawan WSJ, Tom Wright dan Bradley Hope mempromosikan buku mereka bertajuk Billion Dollar Whale yang berkisar tentang 1MDB di Kuala Lumpur tanpa menyebut langsung tentang apa yang dilakukannya.

“Tetapi minggu ini mereka (wartawan WSJ) sudah melampau,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pengarang laman web itu berkata beliau berdiam diri selama ini kerana “ada perkara lebih penting yang difikirkannya” dan beliau tidak mahu segala-galanya tentang skandal kewangan itu terdedah tanpa ada bahagian yang diketepikan.

Rewcastle-Brown mencemuh buku itu, berkata beliau orang pertama yang membongkar tentang skandal 1MDB dan memberikan sumbernya kepada WSJ.

Dalam satu artikel panjang di Sarawak Report, Rewcastle-Brown memuat naik bab 23 daripada bukunya, “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”, memperincikan perbualan antaranya dengan sumbernya dan wartawan WSJ, Wright dan Simon Clarke.

Rewcastle-Brown berkata sedutan itu mencabar dakwaan pengarang Billion Dollar Whale bahawa “sumber dalaman siasatan 1MDB yang datang mencari mereka”.

“Saya hanya mahu kebenaran didedahkan,” kata Rewcastle-Brown kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga membuat aduan kepada pengarang WSJ dan jawatankuasa Anugerah Pulitzer tentang wartawannya yang mengambil bahan tentang 1MDB dan maklumat utama dalam skandal itu tanpa memberi kredit kepada laman webnya.

Billion Dollar Whale dilancarkan di Malaysia pada Selasa lalu dengan sambutan luar biasa dengan 200 naskhah habis dijual di kedai buku Kinokuniya di Suria KLCC. – Gambar fail The Malaysian Inisght, 27 September, 2018.

Wartawan WSJ, Wright, Hope, Simon Clark, Mia Lamar dan James Hookway – adalah finalis bagi Anugerah Pulitzer pada 2016 dalam laporan antarabangsa untuk “laporan pendedahan rasuah peringkat tertinggi, membawa kepada ‘Watergate Malaysia’”, tetapi mereka tewas kepada The New York Times.

“Awal tahun lalu (Februari 2017) saya menghantar surat kepada WSJ untuk membuat aduan tetapi mereka menafikan menggunakan Sarawak Reports untuk berita mereka tentang 1MDB,” kata Rewcastle-Brown.

Mendakwa bahawa mereka “mengikuti blog saya seperti pemburu”, beliau juga menuduh wartawan WSJ “mencuri beritanya”,

Katanya, Sarawak Report akan menyiarkan berita terlebih dulu, contohnya tentang parti Low Taek Jho yang kini dalam pelarian, dan beberapa hari kemudian, WSJ akan menyiarkan laporan “eksklusif” tanpa memberi kredit kepada laman webnya.

Antara laporan eksklusif Sarawak Reports yang lain ialah tentang urus niaga PetroSaudi di Venezuela.

“Sudah tiga tahun saya terpaksa berdepan dengan keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata artikel panjang yang disiarkan di Sarawak Report semalam adalah bagi menjelaskan semuanya dan mendedahkan sikap memalukan akhbar perniagaan itu.

“Mungkin saya naif. Saya pernah bekerja dengan The Guardian, Sunday Times, The Australian, Financial Times dan semuanya bersikap baik.”

Billion Dollar Whale dilancarkan di Malaysia pada Selasa lalu dengan sambutan luar biasa dengan 200 naskhah habis dijual di kedai buku Kinokuniya di Suria KLCC.

“Kedai buku itu pun teruk. Mereka cuba menjadikan ia seperti Wolf of Wall Street 2 kan? Mereka buat seperti Jho Low itu seorang yang bijak dan memperbodohkan ahli perbankan.

“Jho Low bukannya pandai. Kisah sebenar ialah bagaimana kleptokrat rasuah menggunakan sistem perbankan global (untuk seleweng berbilion dolar daripada 1MDB) dan bagaimana pegawai bank terbabit terlepas,” kata Rewcastle-Brown.

The Malaysian Insight sudah menghantar e-mel kepada Wright dan sedang menunggu respons daripadanya. – 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen