POLIS Australia kini memburu tiga lelaki yang dituduh menyeksa dan membunuh kanggaru, beberapa hari selepas seorang lelaki ditangkap kerana membunuh emu dengan kejam.
Polis di Australia Barat pada Rabu menyiarkan gambar tiga lelaki yang dikehendaki untuk disoal siasat bagi kejadian berasingan dua ekor kanggaru diseksa dan dibunuh pada Mei dan Jun.
Mereka diburu selepas video menunjukkan seorang lelaki menggilis beberapa ekor emu di kawasan pedalaman Australia tersebar di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Video tersebut disifatkan oleh kumpulan kebajikan haiwan sebagai kejam dan mengerikan, menunjukkan lelaki itu menggilis puluhan ekor haiwan seperti burung unta itu menggunakan kenderaan pacuan empat rodanya, sambil mengira dan ketawa dengan kuat setiap kali melanggar haiwan-haiwan tersebut.
Seorang lelaki berusia 20 tahun ditangkap di Victoria Jumaat lepas berhubung kejadian itu dan dijangka akan didakwa kerana bertindak kejam terhadap haiwan. – AFP, 26 September, 2018.
Komen