Presiden Vietnam diberi penghormatan terakhir


Rakyat Vietnam menangisi pemergian Presiden Vietnam Tran Dai Quang yang meninggal dunia minggu lepas. – Gambar EPA, 26 September, 2018.

BERATUS rakyat berpakaian serba hitam, menangis, membakar kemenyan dan meletak kalungan bunga, berkumpul sejak awal pagi Rabu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Presiden Vietnam Tran Dai Quang yang meninggal dunia minggu lepas selepas lama sakit.

Pegawai, kaum keluarga, polis dan sami berbaris panjang di Rumah Pengkebumian Negara yang terletak di pusat bandar Hanoi di mana keranda Quang yang dibaluti bendera Vietnam diletakkan bersama potret pemimpin berusia 61 tahun yang meninggal dunia Jumaat lepas.

Keluarganya kelihatan sugul duduk di sebelah keranda, berpakaian hitam dan ikat kepala putih.

Pemimpin-pemimpin parti termasuk Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc dan Ketua Parti Komunis Nguyen Phu Trong, kelihatan memberi penghormatan terakhir.

Vietnam mengumumkan dua hari berkabung.

Pemimpin-pemimpin komunis Vietnam memuji kesetiaan Quang pada parti yang disertai sejak 1980.

Quang membuktikan reputasi sebagai pemimpin yang sukar dilawan dan dikritik kerana memantau tindakan keras ke atas aktivis dan blogger sejak menjadi presiden pada 2016.

Beliau juga menyokong kempen anti rasuah yang menyaksikan berpuluh pegawai dan bekas pegawai kerajaan dipenjarakan sejak dua tahun lalu.

Penganalisis berkata kematian Quang tidak akan mengubah politik Vietnam yang dikuasai parti komunis. – AFP, 26 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen