NAJIB Razak dibawa ke mahkamah tiga kali baru-baru ini dan dihadapkan dengan 32 pertuduhan keseluruhannya.
Beliau datang ke mahkamah dengan memakai sut dan tangannya tidak bergari.
Hari ini, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim juga dibawa ke mahkamah untuk dikenakan perintah tahanan reman. Beliau belum didakwa dengan apa-apa pertuduhan.
Tetapi Azeez dipaksa pakai baju T lokap berwarna oren; tangannya bergari – dilayan macam penjenayah biasa.
Ada macam yang tidak kena di sini.
Dalam satu wawancara di radio baru-baru ini, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang ditanya kenapa Najib tidak dipakaikan baju lokap dan tidak juga digari, berkata: “Terpulang pada budi bicara pegawai penyiasat.”
Bolehlah dikatakan, pengawai penyiasat kes Azeez merasakan ahli Parlimen itu yang juga bekas pengerusi Tabung Haji ada potensi melarikan diri.
Itu sajalah penjelasan yang ada kenapa Azeez hari ini dilayan seperti penjenayah berbahaya walaupun beliau belum dikenakan apa-apa pertuduhan ke atasnya.
Dua tahun lalu, riuh rendah apabila Rafizi Ramli yang ditangkap dan dibawa ke pejabatnya dipakaikan baju oren yang sama. Malah, beliau pada masa itu juga berkaki ayam. Huru-hara media sosial dibuatnya.

Wakil rakyat dan penyokong mereka yang terlibat bising-bising pada masa itu sekarang ini sudah duduk di Putrajaya.
Kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) akan dipersoalkan kenapa ada layanan yang tidak saksama seperti ini, yang pada suatu masa dahulu mereka pernah juga pertikaikan.
PH dan SPRM harus berhati-hati.
Jangan sampai orang hilang hormat kerana sikap dan tindakan yang tidak adil lagi berpilih ini.
PH jangan lupa, apa sebabnya rakyat menyingkirkan kerajaan yang dahulu.
Rakyat tidak lupa bagaimana agensi anti rasuah itu selama ini membisu ketika negara dijarah dengan rakus.
Adillah sikit SPRM dan PH. Atau paling tidak pun, biarlah konsisten.
Rakyat sedang memerhati. – 26 September, 2018.
Komen