PELAKON dan pelawak Bill Cosby semalam mula menjalani hukuman penjara minimum tiga tahun atas kesalahan mencabul seorang wanita di rumahnya di Philadelphia 14 tahun lepas.
Cosby, 81, pernah dipuja dan diberi gelaran “Bapa Amerika”, adalah selebriti pertama yang disabit dan dihukum atas jenayah seksual selepas kejatuhan Harvey Weinstein akibat gerakan kempen #MeToo.
Beliau yang didapati bersalah pada 26 April kerana mengambil dadah dan mencabul bekas pengurus pasukan bola keranjang universiti, Andrea Constand, langsung tidak menunjukkan sebarang emosi ketika Hakim Steven O’Neill menjatuhkan hukuman terhadapnya di Norristown, Pennsylvania.
Hakim menolak permintaan pasukan pembelaan supaya Cosby dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan. Pelakon yang kini kelihatan lemah itu kemudian digari dan dibawa keluar mahkamah.
“Kamu telah disabitkan dengan jenayah yang sangat serius,” O’Neill memberitahu Cosby.
“Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.” – AFP, 26 September, 2018.
Komen