Seorang maut, 11 cedera pagoda lama runtuh di Thailand


Mengesahkan insiden itu pada lewat Selasa, Pusat Penyelamat Erawan berkata pasukan penyelamat pada mulanya menarik keluar 11 pekerja dari timbunan runtuhan dan mendapati tiga daripada mereka cedera parah. – Gambar EPA, 26 September, 2018.

SEORANG terbunuh manakala 11 lagi cedera selepas sebuah pagoda lama runtuh semasa pengubahsuaian di Wat Phraya Tham Voraviharn di Bangkok pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Mengesahkan insiden itu pada lewat Selasa, Pusat Penyelamat Erawan berkata pasukan penyelamat pada mulanya menarik keluar 11 pekerja dari timbunan runtuhan dan mendapati tiga daripada mereka cedera parah.

Tidak lama selepas itu, seorang ditemui maut kerana terperangkap di bawah runtuhan. 

Polis berkata pekerja terbabit sedang mengangkut galang besi untuk menyokong asas pagoda apabila ia senget dan jatuh terhempas.

Beberapa saksi berkata mereka terdengar bunyi dentuman yang kuat serta nampak serpihan jatuh dan menghujani pekerja terbabit. 

Pekerja penyelamat berkata mereka terpaksa mengambil masa beberapa jam sebelum boleh mengeluarkan mangsa yang cedera dan terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

Wat dan pagoda itu, yang direka sebagai sebuah menara loceng, dikatakan telah dibina semasa pemerintahan Raja Rama III pada tahun 1800-an.

Kerja-kerja pemulihan itu telah dilakukan oleh Jabatan Seni Halus sejak Mei tahun ini.

Wat Phraya Tham adalah wat kelas ketiga diraja pada akhir era kerajaan Ayutthaya yang ditemui berhampiran Wat Arun di sebelah barat Sungai Chao Phraya. 

Wat itu termasuk sebuah dewan pentahbisan dengan ukiran mimbar kayu terkenal dan sebuah pagoda yang berbeza.

Jabatan Seni Halus Thailand membuat keputusan untuk melakukan pengubahsuaian selepas beberapa jurutera merumuskan bahawa pagoda perlu diubah suai bagi mengukuhkan asasnya.

Jabatan itu berkata ia akan menyiasat punca pagoda tersebut runtuh. – Bernama, 26 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen