.jpg)
SAYA mengalu-alukan keputusan Kementerian Wilayah yang telah mengarahkan penutupan sebuah sekolah tahfiz di Kepong.
Setelah melihat sendiri keadaan pusat tahfiz tersebut yang kelihatan tidak terurus; dengan pendawaian yang terjuntai dan lokasi yang tidak kondusif untuk proses penghafalan Al-Quran, saya merasakan perlu ada garis panduan yang jelas tentang operasi pust-pusat pendidikan dan jagaan kanak-kanak seperti ini.
Saya justeru mencadangkan supaya diwujudkan satu sistem untuk memantau dan menyelia pusat-pusat tahfiz serta tenaga pengajarnya; dengan melibatkan bukan sahaja badan-badan agama dan agensi kementerian pendidikan, tetapi juga pihak jabatan kebajikan.
Bukan sahaja pusat tahfiz, sistem pemantauan yang ketat ini juga wajar digunakan dalam mentadbir pusat-pusat jagaan termasuk rumah anak yatim, gereja dan sebagainya demi memelihara keselamatan, kebajikan dan kepentingan kanak-kanak yang terlibat.
Kita tidak wajar menyerahkan anak-anak kepada mana-mana individu atau organisasi atas nama pendidikan, tanpa mengambil peduli tentang kebertanggungjawaban organisasi tersebut untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Kerajaan justeru perlu mempunyai peranan khusus dalam memastikan keselamatan kanak-kanak terjaga dengan mengambil langkah-langkah pemantauan berkesan secara berkala, dan memastikan rumah-rumah jagaan dan pusat-pusat pendidikan agama mematuhi peraturan dan piawaian yang ditetapkan.
Anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama sebagai sebuah negara yang baru sahaja mengecapi perubahan. Mengabaikan kebajikan dan keselamatan mereka di tangan-tangan mereka yang tidak bertanggungjawab bukanlah satu pilihan. – 26 September, 2018.
*Lim Lip Eng adalah ahli Parlimen Kepong dan setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen