SEKURANG-KURANGNYA 11 ditembak mati di sebuah gereja di tenggara Nigeria semalam, dengan pihak berkuasa berkata pertumpahan darah itu berlaku akibat pertelingkahan dalaman.
Presiden Nigeria Muhammadu Buhari mengecam serangan itu, menggambarkan ia sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan sangat meninggalkan kesan.
Buhari berkata “tidak ada justifikasi apa pun untuk menyasarkan jemaah gereja dan membunuh mereka dengan kejam”.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, sekurang-kurangnya seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah gereja Saint Philip di Ozubulu berhampiran bandar Onitsha, menyasarkan kepada jemaah di situ.
Chukwuma Emeka berkata dia baru saja melangkah keluar dari gereja ketika mendengar bunyi tembakan dan jeritan dengan orang ramai berlari masuk ke dalam.
“Ketika kekecohan mulai reda, saya masuk ke dalam dan nampak ahli gereja mati berlumuran darah dan ramai yang lain menjerit kesakitan,” katanya.
Serangan terhadap gereja jarang berlaku di selatan Nigeria, di mana ia didominasi populasi Kristian.
Utara negara itu kebanyakannya beragama Islam dicengkam kempen keganasan oleh pengganas Boko Haram, yang pakar dalam menyasarkan serangan terhadap pusat agama.
Saksi berkata lima lelaki bersenjata dan bertopeng menyerbu masuk ke gereja, tetapi polis berkata pembunuhan itu dilakukan seorang penembak.
“Setakat ini, 12 orang disahkan mati,” kata seorang pekerja di hospital.
Pesuruhjaya Polis daerah Anambra, Garba Umar kemudian berkata 11 terbunuh dan 18 lagi cedera akibat kejadian itu.
Beberapa ahli gereja yang tercedera akibat kejadian itu turut menerima rawatan di hospital, kata sumber. – AFP, 7 Ogos, 2017.
Komen