PAC akan panggil Najib jelas tuntutan tunggakan bayaran balik GST


Najib Razak akan dipanggil memberikan penjelasannya pada 17 Oktober ini, kata pengerusi PAC, Ronald Kiandee. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2018.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas menteri kewangan Najib Razak untuk menjelaskan berhubung tuntutan tunggakan bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion, yang didakwa hilang dan “dirompak” oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Najib akan dipanggil memberikan penjelasannya pada 17 Oktober ini, kata pengerusi PAC, Ronald Kiandee.

Jawatankuasa itu juga akan memanggil Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk tujuan sama pada 22 Oktober, manakala bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar akan dipanggil semula pada 16 Oktober.

Irwan sudah memberikan penjelasannya sebelum ini pada 13 September lalu.

“Jawatankuasa ini, berharap dapat membuat rumusan serta memberi cadangan kepada Kerajaan berhubung isu Tuntutan Tunggakan Bayaran GST berjumlah RM19.4 bilion ini… selepas ketiga-tiga mereka selesai memberikan penjelasan dan penerangan di hadapan PAC Parlimen,” kata Kiandee dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau, laporan PAC berhubung isu ini akan juga dibentangkan di Dewan Rakyat.

Kiandee memaklumkan setakat ini dua prosiding sudah berjalan pada 12 dan 13 September lalu.

Jawatankuasa itu juga sudah mendengar penjelasan daripada dua bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah dan Johari Abdul Ghani.

Husni memegang jawatan itu antara Mac 2008 hingga Jun 2016, sebelum digantikan oleh Johari yang memegang jawatan sehingga Parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Mereka memberikan penerangan menyentuh soal dasar dan tanggungjawab berkenaan GST semasa jadi menteri kewangan kedua, kata Kiandee.

Isu duit cukai GST ini berbangkit selepas Lim mendedahkan di Dewan Rakyat pada awal Ogos lepas duit berkenaan yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga tetapi telah “dirompak” oleh kerajaan terdahulu.

Lim ketika itu bertegas dan enggan menarik balik perkataan “rompak” walaupun didesak oleh beberapa ahli Parlimen BN yang juga bekas menteri. – 26 September, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen