AS tahan perisik China


Ji Chaoqun didakwa ditugaskan memberikan maklumat risikan kepada China mengenai lapan warga Amerika- ada antara mereka adalah kontraktor pertahanan AS. – Gambar EPA, 26 September, 2018.

SEORANG warga China yang datang ke AS menggunakan visa pelajar ditahan semalam di Chicago, didakwa membantu Beijing dalam cubaan merekrut saintis dan jurutera Amerika.

Ji Chaoqun didakwa ditugaskan memberikan maklumat risikan kepada China mengenai lapan warga Amerika- ada antara mereka adalah kontraktor pertahanan AS.

Ji yang berusia 27 tahun tiba di Chicago pada 2013 menggunakan visa pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik, didakwa dengan satu pertuduhan secara sedar bertindak sebagai agen kerajaan asing tanpa memaklumkan kepada Pejabat Peguam AS.

Menurut afidavit mahkamah, Ji bekerja atas arahan “seorang pegawai perisikan kanan” di Kementerian Keselamatan Negara China, yang “menguruskan pengumpulan risikan awam dan bertanggungjawab menentang risikan dan risikan asing, serta keselamatan politik”.

Semua lapan orang yang didakwa dirisik Ji adalah warga Amerika kelahiran Taiwan atau China menurut pihak berkuasa. Mereka sedang bekerja atau baharu bersara daripada industri sains dan teknologi.

Afidavit difailkan di mahkamah persekutuan oleh penyiasat FBI yang pakar dalam soal risikan mendakwa antara sasaran adalah jurutera yang pernah satu ketika adalah “jurutera kanan yang membekalkan enjin pesawat kepada pesawat tentera dan komersial.”

Selepas salah seorang pengendali Ji ditahan, beliau bertemu dengan agen AS yang menyamar pada April dan Mei lalu, mengakui kerja-kerjanya termasuklah mengutip maklumat peribadi, kata afidavit itu.

Beliau didakwa memberitahu agen yang menyamar: “Mereka hanya mahu saya membeli dokumen tertentu bagi pihak mereka. Alasan mereka ia lebih mudah untuk mereka buat bayaran dari China.”

Ji juga menyertai Pasukan Tentera Simpanan AS, menurut Pejabat Peguam AS, tetapi gagal memaklumkan hubungan asingnya kepada tentera. – AFP, 26 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen