JERMAN dan Arab Saudi semalam bersetuju untuk menempatkan semula duta mereka selepas 10 bulan pertikaian dua negara itu mengenai krisis kepimpinan Lubnan.
Arab Saudi yang semakin kerap mencabar kerajaan Barat yang lantang mengecam rekod haknya pada November lepas memanggil pulang dutanya dari Berlin selepas peletakan jawatan Saad Hariri sebagai perdana menteri Lubnan ketika melawat Riyadh.
Sigmar Gabriel, yang ketika itu menteri luar Jerman berkata Arab Saudi perlu membiarkan Lubnan membuat keputusan sendiri, menimbulkan kemarahan Arab Saudi yang seperti Hariri menafikan beliau dipaksa meletak jawatan.
Pengganti Gabriel, Heiko Maas, bertemu Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir pada Perhimpunan Agung PBB menyuarakan kekesalan dan berkata dua negara itu akan kembali menghantar duta mereka.
“Sejak beberapa bulan lalu, wujudnya salah faham dalam hubungan kami yang sangat bertentangan dengan hubungan dan ikatan kukuh bersama Arab Saudi dan kami sangat kesal,” kata Maas kepada wartawan.
“Kita perlu lebih jelas dalam berkomunikasi dan berhubungan bagi mengelakkan salah faham sebegini.”
Jubeir, bercakap bersama-sama Maas, menjemputnya datang melawat dan mengesahkan “hubungan kukuh mendalam” dengan Jerman.
“Negara (Arab Saudi) dan Jerman memainkan peranan utama dalam mengalakkan keselamatan antarabangsa dan kestabilan serta ekonomi global,” kata Jubeir.
Arab Saudi yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden AS Donald Trump semakin lantang menyatakan pendirian tidak akan menerima kecaman luar.
Bulan lepas, Riyadh mengusir duta Kanada dan membekukan semua perdagangan baharu selepas Ottawa mengecam penahanan besar-besaran aktivis di negara itu.
Pada 2015, Arab Saudi turut memanggil balik dutanya di Sweden selepas rekod hak asasinya dikecam.
Hariri yang pulang ke Lubnan dan menarik balik peletakan jawatannya memegang kewarganegaraan Arab Saudi dan Perancis.
Kejadian itu yang terbaru dalam hubungan serantau Arab Saudi yang semakin tegang dengan musuhnya, Iran selepas Hariri membaiki hubungan dengan Hezbollah, pergerakan militan syiah yang disokong Tehran. – AFP, 26 September, 2018.
Komen