BERPULUH pekerja asing di bandar pertandingan akhir Piala Dunia Qatar bernilai AS$45 bilion di Lusail tidak dibayar berbulan lamanya, kata Amnesty International hari ini dalam dakwaan terbaru kepada tuan rumah tahun 2022 itu.
Mercury Mena “gagal membayar ribuan dolar upah dan manfaat pekerjaan kepada pekerjanya, menyebabkan mereka tersadai dan tidak berduit” di negara itu, menurut kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di London itu.
Bagaimanapun, Fifa dalam jawapan balas berkata, tuduhan itu “mengelirukan” dan kejadian tidak dibayar itu tiada kaitan dengan Piala Dunia 2022.
Amnesty mendakwa sekurang-kurangnya 78 pekerja dari Nepal, India dan Filipina tidak dibayar sejak Februari 2016 dengan jumlah tunggakan gaji puratanya mencecah AS$2,000- bersamaan dengan beberapa bulan gaji.
Dalam beberapa kes, tunggakan itu “merosakkan hidup pekerja terlibat”, kata Amnesty yang menggesa kerajaan Doha membayar pekerja tersebut, ada antara mereka yang melakukan pinjaman untuk bekerja di negara teluk kaya raya itu.
Seorang pekerja, Ernesto, seorang jurukimpal dari Filipina memberitahu Amnesty yang hutangnya bertambah besar selepas dua tahun bekerja di Qatar berbanding sebelum ini.
Pekerja lain dari Nepal pula terpaksa menghentikan persekolahan anak mereka atau menjual tanah untuk membayar hutang bekerja di Qatar.
“Dengan memastikan upah tertunggak dibayar, Qatar boleh membantu pekerja asing ini membina semula hidup mereka,” kata Steve Cockburn, pengarah isu global Amnesty.
Ia mendakwa Mercury Mena “mengambil kesempatan” dengan sistem “kafala” Qatar yang menghalang pekerja bertukar kerja atau meninggalkan negara itu tanpa keizinan majikan.
Pekerja tidak dibayar ramai yang dibenarkan keluar Qatar menggunakan duit sendiri, kata Amnesty.
Selain membantu pembinaan bandar Lusail, yang juga tempat perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022, Mercury Mena membantu membina pertunjukan stadium yang antara komponen penting pembentangan Qatar dalam bidaan kepada Fifa pada Disember 2010.
Pada November, Amnesty bercakap dengan ketua pegawai eksekutif syarikat yang mengakui wujudnya masalah “aliran tunai”. Tetapi tiada maklum balas lanjut selepas itu.
Bagaimanapun, Fifa menafikan dakwaan Amnesty.
“Kami tiada sebab untuk percaya pelanggaran hak pekerja yang berlaku ada kaitan dengan Fifa dan Piala Dunia 2022,” kata jurucakapnya kepada AFP.
“Kami kesal Amnesty memilih merangka kenyataannya dalam cara yang mengelirukan.”
Pendedahan itu berlaku ketika tuan rumah Piala Dunia dikecam hebat kerana pelanggaran hak pekerja.
Awal bulan ini, Doha berkata ia akan menghapuskan permit keluar- sistem yang mengaitkan kafala dengan perhambaan era moden- tetapi tidak memberikan tarikh sebenar penguatkuasaan.
Pada April, Organisasi Buruh Antarabangsa membuka pejabatnya di Doha, tindakan dalam perjanjian dengan agensi buruh PBB itu untuk menyelia reformasi besar-besaran pasaran kerja negara itu.
Terdapat hampir dua juta pekerja asing di Qatar, ramai diambil bekerja secara langsung atau tidak langsung dalam projek infrastruktur Piala Dunia 2022. – AFP, 26 September, 2018.
Komen