BERATUS peminat beratur panjang untuk mendapatkan tandatangan penulis buku “Billion Dollar Whale”, Tom Wright, ketika buku yang berkisar tentang skandal 1MDB dan watak utamanya, Low Taek Jho dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini.
Sejak pukul 2 petang lagi mereka sudah mula beratur di kedai buku Kinokuniya di Suria KLCC yang 200 naskhah habis dijual.
Ramai peminat menjadikan buku tersebut sebagai rujukan skandal 1MDB dan ingin bersalam dengan penulis yang mereka percaya dapat membuatkan mereka lebih faham mengenai penyelewengan dana pelaburan negara itu.
“Sudah berjam-jam saya tunggu tapi tak apa, ini penting. Setiap rakyat Malaysia mesti baca buku ini dan tahu mengenai skandal yang menggugat kedudukan kewangan negara kita,” kata seorang pesara, Ahmad Mahmud, 68.
“Saya percaya dengan buku ini. Mereka nak terbitkan juga buku ini, tak kira sama ada kerajaan berubah atau tidak dan mereka adalah peguam Wall Street Journal (WSJ) terbaik untuk mengesahkannnya. Saya pasti mereka sudah cukup bersedia sebelum ia diterbitkan.”

Wright yang menulis buku itu bersama rakannya yang juga wartawan WSJ, Bradley Hope bergilir-gilir menandatangani buku serta bercakap kepada media dan tetamu.
Khoo, 42, yang bekerja dalam industri perkhidmatan menunggu hingga ke senja untuk mendapatkan buku tersebut.
“Kami hanya cuba mahu tanu apa yang sebenarnya berlaku. Apa yang kita dengar selama ini mengenai skandal 1MDB hanya khabar angin dan maklumat tak tepat di Internet. Jadi, ini masa yang ditunggu-tunggu.”
Billion Dollar Whale yang kini kehabisan stok, dijual pada harga RM129 bagi versi kulit keras dan RM79 bagi versi kulit lembut. – 25 September, 2018.
Komen