WAKIL rakyat Filipina yang lantang mengkritik kempen memerangi dadah anjuran Presiden Rodrigo Duterte ditahan hari ini atas dakwaan yang sebelum ini digugurkan, di mana pemerhati mengecam tindakan itu sebagai pendakwaan terhadap pembangkang kerajaan.
Senator Antonio Trillanes ditahan dan dikenakan ikat jamin selepas mahkamah mengeluarkan waran memaksanya keluar dari bangunan Senat, tempat beliau bersembunyi selama beberapa hari untuk mengelak ditangkap.
Trillanes ialah senator kedua ditahan kerana lantang mengecam kempen memerangi dadah.
Seorang lagi, Leila de Lima, dipenjarakan sejak Februari 2017 atas dakwaan yang dikatakan diada-adakan untuk memaksa beliau mendiamkan diri.
Arahan penangkapan Trillanes berpunca daripada tindakan Duterte awal bulan ini yang membatalkan pengampunan lapan tahun lalu kepada senator itu susulan pembabitannya dalam dua cubaan rampasan kuasa pada pertengahan 2000-an.
“Mereka memesongkan undang-undang supaya demokrasi dan institusi kita gagal.
“Kes ini tiada kena mengena dengan apa-apa kecuali pembalasan dendam Duterte dan orangnya,” kata Trillanes.
Duterte mengeluarkan perintah mengarahkan Trillanes ditahan awal bulan ini atas dakwaan beliau tidak melengkapkan syarat memfailkan permohonan rasmi mendapatkan pengampunan dan mengaku bersalah.
Kes itu mencetuskan kebimbangan di Filipina yang menyaksikan pengkritik mempersoalkan sama ada presiden mempunyai kuasa menarik balik pengampunan, yang berulang kali digunakan sebagai alat di negara yang digegarkan dengan pemberontakan militan dan tentera. – AFP, 25 September, 2018.
Komen