BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kekayaan anak-anaknya perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata adalah tidak adil hanya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi disiasat berhubung tuduhan memiliki RM230 juta seperti yang didakwa Dr Mahathir.
“Kalau Ahmad Zahid berani untuk menyatakan dia rela disiasat, saya rasa tidak adil kalau beliau sahaja yang disiasat, orang yang membuat tuduhan (Dr Mahathir) juga patut disiasat sebab anak-anaknya kaya.
“Kita pun nak tahu juga bagaimana anak-anak beliau (Dr Mahathir) tiba-tiba menjadi kaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas hari ini.
Mohamed Nazri berkata Dr Mahathir menyerang Ahmad Zahid kerana bekas perdana menteri itu tidak berjaya menjatuhkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Najib Razak yang mempunyai sokongan mantap daripada ahli Umno.– Bernama, 6 Ogos, 2017.
Komen