Penumpang India cari tandas, terbuka pintu keluar pesawat


Seorang penumpang GoAir cuba membuka pintu belakang pesawat ketika di udara, menyangka ia pintu tandas. – Gambar AFP, 25 September, 2018.

SEORANG penumpang India mencetuskan panik ketika dalam penerbangan di udara apabila dia cuba membuka pintu pesawat yang disangkanya tandas, menurut syarikat penerbangan.
Lelaki terbabit menaik pesawat GoAir bagi perjalanan dari New Delhi ke Patna pada Sabtu ketika cuba membuka pintu belakang pesawat.

“Seorang penumpang lain panik dan anak kapal menghentikan cubaannya,” kata GoAir dalam satu kenyataan.

Laporan media India mengatakan ini pengalaman pertama lelaki berusia lewat 20-an itu menaiki pesawat.

Ketika penumpang lain bertanya apa yang sedang dilakukannya itu, lelaki berkenaan berkata dia hendak ke tandas dan terus mencuba pintu keluar itu, lapor The Telegraph yang berpangkalan di Kolkata.

“Katanya dia keliru kerana ini kali pertama menaiki pesawat,” kata Mohammad Sanowar Khan kepada akbar itu.

GoAir berkata penumpang terbabit diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut selepas pesawat selamat tiba di destinasi.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan itu berkata lelaki terbabit tidak dapat membuka pintu berkenaan kerana tekanan udara di dalam pesawat.

Seminggu lalu, lebih 30 penumpang pesawat Jet Airways mengalami pendarahan di telinga dan hidung selepas anak kapal dilaporkan terlupa memasang untuk tekanan udara dalam kabin. – AFP, 25 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen