SETENGAH juta kanak-kanak berada dalam keadaan “bahaya” di ibu kota Libya, Tripoli, susulan pertempuran yang berlaku, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Menurut Kementerian Kesihatan Libya, pertempuran yang berlaku antara militia bertelagah pada akhir bulan Ogos telah meragut sekurang-kurangnya 115 nyawa dan mencederakan hampir 400 orang setakat Sabtu malam.
Unicef pada Isnin menyatakan bahawa “lebih 1,200 keluarga telah tersingkir dalam tempoh 48 jam sahaja apabila pertempuran semakin sengit di selatan Tripoli.”
Ini menjadikan jumlah orang yang tersingkir susulan pertempuran baru-baru ini kepada lebih 25,000 dan separuh daripada mereka ialah kanak-kanak.
“Lebih ramai kanak-kanak dilaporkan direkrut untuk berjuang, yang meletakkan mereka dalam keadaan bahaya secara serta-merta. Tindakan itu menyaksikan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak terbunuh,” kata Geert Cappelaere, pengarah agensi PBB itu bagi Timur Tengah dan Afrika Utara.
Unicef juga menyatakan bahawa semakin banyak sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan bagi keluarga tersingkir, yang mungkin melambatkan permulaan tahun akademik selepas 3 Oktober.
Ia berkata penduduk kini berdepan kekurangan bekalan makanan, bahan api dan air, sambil menambah bahawa pertempuran itu telah memburukkan lagi kesengsaraan golongan pendatang.
“Beratus-ratus pelarian dan pendatang yang ditahan, termasuk kanak-kanak, telah dipaksa berpindah kerana keganasan. Yang lain terkandas di pusat-pusat yang berada dalam keadaan teruk,” kata Cappelaere.
Meskipun terdapat satu gencatan senjata yang dipelopori PBB pada 4 September, pertempuran berlaku lagi minggu lepas di daerah-daerah selatan ibu kota.
Pertempuran itu tercetus antara kumpulan bersenjata dari Tarhuna dan Misrata dengan militia Tripoli yang secara nominal dikuasai kerajaan perpaduan Libya yang disokong olleh PBB.
Ibu kota Libya itu telah menjadi pusat peperangan untuk mencari pengaruh antara kumpulan bersenjata terbabit sejak diktator Muammar Gaddafi digulingkan dalam satu pemberontakan yang disokong oleh Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) pada 2011.
Kerajaan perpaduan telah berusaha untuk mengekalkan kuasanya ketika berdepan dengan pelbagai kumpulan militia dan satu pentadbiran pesaing yang berpangkalan di timur Libya. – Bernama, 25 September, 2018.
Komen