Anwar sambut baik Umno boikot PD


Mohd Farhan Darwis

Anwar Ibrahim mengalu-alukan calon lain yang akan menentangnya dalam PRK pada 13 Oktober depan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 September, 2018

KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim menerima keputusan Umno untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Beliau yang dijangka bertanding di kerusi itu bagaimanapun mengalu-alukan calon lain yang akan menentangnya dalam PRK pada 13 Oktober depan.

“Saya sambut baik siapa yang tidak mahu bertanding (PRK Port Dickson), saya alu-alukan mereka yang ingin bertanding, tapi saya lebih gembira jika tiada pertandingan, (namun) saya masih perlu lawan calon bebas,” katanya, kepada pemberita di ibu negara hari ini.

Umno semalam mengesahkan tidak akan meletakkan calon mereka dan memboikot PRK Port Dickson.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan RM3.6 juta yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diperlukan untuk PRK tersebut sebaiknya dibelanjakan kepada rakyat.

Menurutnya, tindakan boikot itu dilakukan kerana berpendapat sesuatu PRK itu sepatutnya diadakan apabila berlaku kematian oleh penyandang kerusi tersebut dan bukan untuk memenuhi “cita-cita” individu tertentu.

Setakat ini, hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon bebas, Stevie Chan mengumumkan hasrat mahu bertanding dalam pilihan raya kecil itu, melawan calon PKR Anwar Ibrahim.

Umno semalam mengesahkan tidak akan meletakkan calon mereka dan memboikot PRK Port Dickson.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2018

PAS sebelum ini menyatakan pendirian sedia meletakkan calon, bergantung pada keputusan Umno.

Minggu lalu, PKR mengumumkan Anwar akan bertanding kerusi Parlimen Port Dickson selepas ahli Parlimennya Danyal Balagopal Abdullah, yang juga bekas pegawai tentera laut, mengosongkan kerusi itu.

Kawasan Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar dengan pecahan 42% Melayu, 33% Cina dan 22% India.

Kerusi itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Telok Kemang adalah kubu kuat BN sehinggalah dipecahkan oleh PKR pada PRU 2008 apabila calonnya Kamarul Bahrin Abbas mengalahkan bekas timbalan menteri BN, S Sothinathan. Kamarul mengekalkan kerusi itu pada PRU 2013.

Pada PRU14, Danyal menang dengan 17,710 undi mengalahkan calon BN V Mogan dari MIC dan calon PAS Mahfuz Roslan. – 25 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen