KARIKATUR “kucing bertuah” ketua tentera Thailand dengan kaki terangkat meminta wang, atau mukanya ditutup dengan garis tebal warna merah- graffiti berani yang muncul di seluruh Bangkok menjadikan dinding di bandar itu kanvas satira politik yang jarang berlaku di negara itu.
Pengasas gelombang baharu artis jalanan itu ialah “Headache Stencil”, yang melalui grafitinya membuat satira kepada penguasa negara itu menekan kebebasan bersuara selepas rampasan kuasa 2014.
Dianggap “Banksy” Thailand, Headache- nama gelaran yang menggambarkan kesannya kepada penguasa- menjadi terkenal Januari lalu dengan lukisan orang nombor dua junta tentera Prawit Wongsuwan yang bergelut mahu menjelaskan koleksi jam mewahnya yang tidak diisytihar.
Lukisan yang menunjukkan wajah Prawit dalam jam adalah kritikan kepada kekurangan ketelusan kewangan diamalkan jeneral yang merampas kuasa mendakwa hanya mereka boleh menyelamatkan negara itu daripada korupsi berleluasa.
Ia adalah tindakan berani dalam negara yang dengan hanya membaca buku “1984” karya George Orwell di ruang awam pun dianggap mencabar penguasa serta kelompok elit yang cepat benar membuat tuduhan fitnah kepada pengkritik mereka.
Bercakap di studionya di Bangkok, Headache nampaknya tidak mudah mengalah:
“Asal usul seni jalanan adalah rakyat yang tiada hak, tiada suara,” katanya kepada AFP, memakai topeng bagi melindungi dikesan pihak berkuasa.
“Matlamatnya adalah untuk menghebahkan perkara yang kita mahu cakap tetapi tidak boleh. Jadi kita lukis kepada mereka yang berjalan di jalanan, untuk penguasa atau rakyat biasa faham.”
Selepas imej jam itu tular, polis cuba memantau artis berkenaan dan pegawai perbandaran pantas memadam satira grafiti itu.
Prawit bertegas yang jam itu dipinjam daripada kawannya, tetapi sembilan bulan selepas itu agensi pencegahan rasuah Thailand masih belum selesai menyiasat kes itu.
Headache sekali lagi jadi tumpuan Mac lalu- kali ini dengan grafiti menunjukkan seekor harimau kumbang menangis air mata darah.
Ia merujuk kepada kes seorang tauke besar syarikat pembinaan Thailand yang kemudiannya didakwa kerana membunuh haiwan dilindungi dalam pemburuan haram dalam taman negara.
Sekali lagi, lukisan itu jadi tular, disukai rakyat kerana menyasarkan kelompok kaya berkuasa.
Seperti “Bansky”, Headache mengekalkan kerahsiaan kepada karyanya.
Dan misteri itu menarik perhatian dalam negara ketika jutaan rakyatnya kembali kepada seni untuk merungkai kemarahan anti junta yang membuak-buak tetapi tidak terluah.
“Riwayat seni jalanan pendek…anda boleh padam dengan cat tetapi bila ia masuk dalam media sosial, ia akan kekal,” kata Apinan Poshyananda, pengarah artistic Bangkok Art Biennale yang berlangsung bulan depan dan menampilkan pelbagai karya artis jalanan.
Headache kini giat mengadakan bengkel di seluruh negara termasuklah di utara negara itu, kubu kuat kerajaan dipilih rakyat yang dijatuhkan.
Minggu lepas, junta tentera Thailand membatalkan beberapa larangan dalam politik, dan pilihan raya yang sudah lama ditunggu akan diadakan tahun depan tetapi ia menjanjikan pertembungan antara pihak disokong tentera dan ahli politik biasa.
Pertembungan nilai itu boleh jadi modal untuk pemberontak seni jalanan seperti Headache.
Karya terbarunya menumpu kepada kesan perbelanjaan tentera- yang meningkat saban tahun sejak rampasan kuasa- kepada rakyat Thailand. Ia menunjukkan seorang tentera mengawal jongkang jongkit dan seorang pelajar perempuan tergantung di udara.
“Kita beri lebih banyak bajet kepada senjata berbanding otak,” katanya. – AFP, 25 September, 2018.
Komen